Harimau Malaya bertemu tajikistan sebagai persiapan antarabangsa pada 9 November di Stadium Nasional Bukit Jalil.-FAM

KUALA LUMPUR – Skuad Kebangsaan Harimau Malaya akan berdepan Tajikistan pada Sabtu 9 November ini.

Aksi berkenaan akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil 8.45 malam dan para penyokong tanahair digalakkan memberi sokongan padu kepada skuad kebangsaan.

Aksi itu adalah sebagai perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 sebagai persiapan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menjelang perlawanan berdepan Thailand dan Indonesia November ini juga.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan rasmi di Facebook berkata, perlawanan menentang Tajikistan merupakan aksi yang diatur sebagai pemanas badan skuad negara sebelum berdepan dua negara jiran itu dalam Kelayakan Asia ke Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala AFC Asian China 2023.

Mengikut jadual, Harimau Malaya akan menentang negara gajah putih pada Khamis 14 November dan Skuad Garuda 5 hari kemudian iaitu Selasa 19 November 2019.

Dalam aksi kelayakan Kumpulan G sebelum ini, Malaysia merekodkan kemenangan 3-2 di Jakarta sebelum tewas 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tunduk tipis 0-1 kepada Vietnam minggu lalu.

Kini skuad Malayan Tigers dalam keadaan wajib menang ke atas Thailand dan Indonesia untuk mencerahkan peluang untuk mara ke pusingan ketiga.

Menjelang dua aksi pusingan kelayakan piala dunia itu, perkampungan sukan stadium Bukit Jalil bakal diserbu puluhan ribu penyokong Harimau Malaya bagi menyaksikan dua aksi penting itu.-MalaysiaGazette