Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Kad Kenangan 'Gold Bar' Lagenda Sukan Negara di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2019.

PUTRAJAYA – Nasib pelumba sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah akan berlumba dalam saingan Moto2 selepas gagal menyerlah dalam kategori MotoGP pada musim ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, permohonan telah dibuat oleh Hafizh dan beliau akan memperhalusi permohonan pelumba itu.

Katanya, ia adalah sokongan kementeriannya sebagai agensi bertanggungjawab dalam memastikan pemuda berbakat, seperti Hafizh, terus digilap.

“Dalam kes Hafizh khususnya saya telah berurusan dengan Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali dan saya dah pastikan bahawa Hafizh tetap akan beraksi dalam Moto2 walaupun tidak lagi dalam MotoGP.

“Walaupun dia tidak lagi bersama pasukan lamanya dan walaupun Petronas masih tidak mahu bersama menaja, kita menerusi SIC akan sampaikan bantuan kepada dia,” katanya selepas majlis pelancaran Kad Kenangan Gold Bar Lagenda Sukan Negara.

Tambah Syed Saddiq, kementeriannya akan mempertimbangkan menyalur bantuan tambahan kepada pelumba tersebut bagi meningkatkan semula prestasinya dalam sukan permotoran itu. – MalaysiaGazette