Sim Tze Tzin
Sim Tze Tzin. foto HAZROL ZAINAL, 13 JANUARI 2019.

PELABUHAN KLANG – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 51.87 tan ayam sejuk beku bernilai RM818,508 yang cuba diseludup masuk ke negara ini tanpa permit import di Pelabuhan Barat, di sini, Isnin lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, produk makanan tersebut dikesan dalam satu pemeriksaan kira-kira pukul 10 pagi ke atas dua kontena sejuk beku dari Hong Kong yang mengisytiharkan barangan dibawanya sebagai mi wantan.

Beliau berkata, produk ayam potong tersebut dikeluarkan oleh pusat penyembelihan dari Brazil dan Poland yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Siasatan juga mendapati syarikat yang mengimport produk itu tidak mematuhi syarat import kerana barangannya tidak mempunyai sijil kesihatan veterinar dari negara asal dan sijil halal,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, MAQIS telah mengambil keterangan wakil syarikat dan ejennya untuk tindakan lanjut kerana melanggar peruntukan Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Jika sabit kesalahan, pemilik syarikat boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-dua sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, setakat Januari hingga September lalu, sebanyak 645 rampasan bernilai RM47 juta dilakukan MAQIS atas kesalahan mengimport bahan makanan seperti sayur-sayuran, ayam, daging, buah-buahan serta bahan pertanian tanpa permit dengan 293 kompaun dikenakan kepada pihak terlibat.

Mengulas mengenai African Swine Fever (ASF), beliau berkata, agensi berkaitan sentiasa memperkasakan pemeriksaan terhadap pengimportan daging serta produk berkaitan babi dari negara luar sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan penyakit itu.

Bagaimanapun, katanya, sejak Januari hingga September lepas, sebanyak 4.6 tan daging serta produk daripada babi dirampas kerana dibawa masuk dari negara luar tanpa permit oleh rakyat tempatan serta pelancong.

“Disebabkan itu, kita melakukan pemeriksaan yang amat teliti ke atas kemasukan bahan makanan ini di semua pintu masuk negara. Buat masa ini, negara kita masih bebas daripada penyakit ASF,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast