Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff.

KUALA LUMPUR- SME Bank mengumumkan pelantikan Datuk Seri Nazir Ariff sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif berkuatkuasa 18 Oktober 2019.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, bank tersebut berkata, Nazir, 73, mempunyai latar belakang perakaunan dan merupakan Fello di British Institute of Management mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai industri seperti perbankan, hartanah, perlombongan dan komoditi.

Beliau juga merupakan pengasas bersama dan Naib Pengerusi Eksekutif Aspen (Group) Holdings Ltd. di samping memegang jawatan sebagai Pengarah Bebas Texchem Reosurces Bhd. dan PBA Holdings Bhd.

Sebelum ini, beliau merupakan Naib Pengerusi/ Pengarah Eksekutif di Ivory Properties Group Bhd. dari 2006 sehingga 2013.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Aria Putera Ismail, pelantikan Nazir sebagai Pengerusi SME Bank adalah tepat pada masanya.

“Pengalaman luas yang dimilikinya boleh membantu SME Bank di dalam menjayakan transformasi ke arah yang lebih lestari dan efektif,” katanya.- MalaysiaGazette