Taylor Regan

KUALA LUMPUR – Tonggak pertahanan Selangor, Taylor Regan berazam mahu mengulangi memori rakan senegaranya dari Australia, Robert Cornthwaite ketika menjulang Piala Malaysia bersama Selangor pada 2015.

Malah, dia sendiri hadir menyaksikan perlawanan akhir itu di Stadium Shah Alam yang menyaksikan Selangor menang 2-0 ke atas Kedah sekali gus menoktahkan kejuaraan ke-33 bagi skuad Merah Kuning.

Kini, pemain berusia 31 tahun itu sedar bahawa dia berpeluang untuk menyempurnakan hasratnya membawa Selangor ke pentas final selepas kali terakhir pasukan itu mara pada tahun 2016.

“Pada penghujung 2015 ketika saya baharu sahaja mengikat kontrak bersama Negeri Sembilan, saya ada datang menyaksikan perlawanan akhir membabitkan Selangor dengan Kedah di Shah Alam.

“Rakan senegara, Robert Cornthwaite mempelawa untuk saya hadir dan melihat sendiri bagaimana Selangor muncul juara Piala Malaysia pada waktu itu.

“Kini, saya menyimpn impian sama mahu mengulangi detik kejayaan berkenaan pada kali ini di mana saya mahu membawa Selangor ke final sekali lagi serta muncul juara Piala Malaysia.

“Selangor sebuah pasukan yang cukup baik malah penyokongnya juga sentiasa bersama pasukan , tiada apa lagi yang saya mahukan dengan berada salah satu pasukan terbaik di Liga Malaysia seperti Selangor, ” katanya ketika ditemui Malaysia Football League pada sesi latihan semalam.

Dalam masa sama, bekas pemain Adelaide United dan Newcastle Jets ini tidak kisah dengan pilihan ramai yang meletakkan Johor Darul Ta’zim(JDT) sebagai pilihan mara ke pentas akhir Piala Malaysia 2019 berbanding Selangor.

Malah, dia gembira dengan status Selangor mereka sebagai pasukan underdog berbanding juara enam kali Liga Super, JDT yang dilihat berada di kemuncak prestasi setakat ini.

Bagaimanapun, Regan menyifatkan Piala Malaysia sentiasa terbuka kepada mana-mana pasukan kerana suasana pertandingan yang berbeza.

“ Ini Piala Malaysia, keajaiban sentiasa terjadi dan saya sendiri merasakan keupayaan Selangor tidak jauh dengan pasukan lain dengan semua pemain import berada di tahap terbaik, begitu juga pemain tempatan.

“ Jika kami tidak boleh menang di Larkin pada separuh akhir pertama ini, kita kena pastikan jurang jaringan itu tidak terlalu besar seperti mana mereka tewaskan Terengganu ketika bermain di tempat sendiri.

“Kami telah buktikan pada suku akhir lalu walaupun ramai memilih Perak malah kami tewas 0-1 di Ipoh namun kami tunjukkan karakter tersendiri di laman sendiri untuk bangkit melalui kemenangan agregat 3-2, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast