Temubual eksklusif bersama Pengasas Majlis Perniagaan Malaysia-Qatar (MQBC) Bahagian Malaysia, Datuk Maheran Mohd. Salleh di Plaza Mont Kiara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 14 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR- Qatar menawarkan peluang yang besar kepada usahawan Malaysia untuk meneroka di pasaran negara tersebut sekali gus menjadikannya hab mengembangkan sayap ke negara-negara Teluk serta Afrika Selatan.

Bagi Pengasas Majlis Perniagaan Malaysia Qatar (MQBC), Bahagian Malaysia, Datuk Maheran Mohd. Salleh, adalah satu kerugian bagi syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan daripada segi kepakaran dan produk berkualiti tinggi untuk hanya menjadi jaguh kampung.

Jelasnya, Qatar mempunyai ramai pelabur kaya yang sedia melabur dalam syarikat-syarikat yang mempunyai kepakaran yang tinggi.

Qatar menurut Maheran berminat untuk meneroka dalam bidang-bidang seperti pendidikan, kandungan kreatif dan ICT yang mana Malaysia memang sudah terkenal dengan kepakarannya.

“Mereka sangat kaya tetapi mereka tidak seperti kita atau Amerika Syarikat atau Jepun yang suka mencipta sesuatu yang baharu atau melakukan inovasi terhadap teknologi-teknologi sedia ada.

“Jadi di sinilah peluang-peluang terbuka luas kepada syarikat-syarikat Malaysia yang besar dan mempunyai kepakaran serta technology know how untuk mengembangkan sayap ke Qatar kerana mereka memerlukan kepakaran dan teknologi terkini bagi terus menyokong ekonomi negara mereka.

“Kami di MQBC sedia menjadi pemudah cara kepada peniaga-peniaga ini kerana kami faham cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka kerana kami juga usahawan,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu pertemuan di sini baru-baru ini.

Menjelang perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 yang bakal dianjurkan di Qatar, Maheran berkata, syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam bidang pengurusan hospitaliti memang dialu-alukan untuk turut serta.

Ini kerana persiapan dari segi pembangunan fizikal telah hampir siap namun begitu negara tersebut masih memerlukan pakar-pakar dalam bidang perkhidmatan untuk mengendalikan fasiliti yang terlibat di dalam penganjuran Piala Dunia itu.

Dalam pada itu, kerajaan Qatar ketika ini sangat memberi perhatian kepada pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pelabur-pelabur di negara itu juga berminat untuk menanam modal ke dalam PKS-PKS berpotensi tinggi dari Malaysia.

“Pelabur Qatar adalah pasif. Mereka akan melabur ke dalam satu-satu syarikat tersebut atau berusaha sama dengan syarikat tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai hab mereka di Asia Tenggara.

“Mungkin ada PKS tempatan yang mempunyai pelan perniagaan yang kukuh tetapi kekurangan modal untuk meneruskan rancangan tersebut, maka di sinilah mereka seharusnya merebut peluang tersebut,” katanya lagi.

Katanya, para usahawan tempatan boleh melayari laman web MQBC di www.mqbcqatar.com bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Tambah Maheran, MQBC yang baru dihidupkan semula itu ditubuhkan untuk merangsang perdagangan yang lebih baik dengan Qatar.

Berbeza dengan Arab Saudi atau Emiriah Arab Bersatu (UAE), perdagangan di antara Malaysia-Qatar boleh dikatakan masih rendah.

Jumlah perdagangan di antara Malaysia-Qatar sebanyak AS$ 920 juta (RM3.72 bilion) sahaja pada 2018 dengan ekspoer sebanyak AS$250 juta (RM990 juta) manakala import sebanyak AS$670 juta (RM2.73 bilion).

Antara produk yang dieksport ke Qatar adalah mesik, peralatan dan alat ganti (15 peratus), makanan diproses (10.5 peratus) serta minyak sawit dan produk berasaskan pertanian (7.3 peratus).-MalaysiaGazette