Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

KOTA BHARU – Kementerian Kesihatan sedang mengenal pasti punca sebenar kematian seorang lelaki berusia 30 tahun di Manjung, Perak, semalam, yang dilaporkan akibat dijangkiti virus Zika.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu memandangkan mangsa mempunyai beberapa simptom penyakit lain ketika sedang menerima rawatan.

“Mangsa mengalami gejala muntah dan cirit-birit pada 26 Sept dan dimasukkan ke wad pada keesokannya. Pada 1 Okt pula Jabatan Kesihatan Perak menerima satu notifikasi disyaki seorang lelaki telah dijangkiti denggi dan leptospirosis.

“Mangsa kemudiannya disyaki dijangkiti virus Zika namun seperti yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian bagi penyakit Zika adalah rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Saintifik Tahunan: Penjagaan Kesihatan Dalam Era Digital, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) yang turut dihadiri Presiden IMAM Dr Jeffrey Abu Hassan dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin.

Dr Dzulkefly berkata hasil keputusan ujian akan diketahui dalam masa dua minggu bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa.

“Dalam kata lain, ada ‘co-morbidity’ antara leptospirosis, dehidrasi (terhadap kematian mangsa). Morbidity bukan sebab Zika sahaja dan kita perlu kenal pasti secara lebih lanjut dan kita memerlukan kira-kira dua minggu (untuk keputusan ujian). Ia merupakan kes pertama bagi tahun ini,” katanya.

Semalam, seorang lelaki berumur 30 tahun meninggal dunia dipercayai akibat virus Zika dan kes jangkitan itu adalah yang kesembilan dalam negara sejak 2016.

Mangsa yang disahkan positif jangkitan virus Zika berdasarkan ujian pengesahan dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 13 Okt lepas, meninggal dunia di Hospital Manjung, Perak kira-kira pukul 4.45 pagi semalam.

Dalam perkembangan lain, Dzukfely berkata Jabatan Kesihatan Kelantan telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama-sama agensi kerajaan Persekutuan dan negeri yang lain untuk berdepan sebarang kemungkinan ketika banjir berlaku di negeri ini.

Ia termasuk membuat persiapan logistik, tenaga manusia dan keperluan lain sekiranya banjir berlaku banjir terutama untuk pemindahan pesakit dan aset.

“Setakat ini kita belum (membuat keputusan untuk) membekukan cuti tapi sekiranya memerlukan kita akan bekukan cuti (kakitangan kesihatan),” katanya.- BERNAMA