Imigresen - Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan sindiket menggunakan tukang urut wanita warga asing tanpa izin di rumah kampung yang ruang dalamannya diubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dalam serbuan di Kampung Besar, Jalan Berapit, di sini semalam.

Rumah kampung terbabit telah diubah suai ruang dalamannya dengan bilik-bilik yang diperbuat daripada papan lapis untuk dijadikan bilik urut yang menyediakan tukang urut wanita warga asing.

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Muhamad Husni Mahmud berkata, pihaknya menyerbu rumah itu kira-kira pukul 9 malam hasil maklumat dan risikan yang di jalankan sejak seminggu lepas berikutan rumah terbabit sering menjadi tumpuan lelaki.

“Semasa serbuan itu terdapat seorang lelaki tempatan berada di dalam bilik bersama tukang urut wanita warga asing manakala pemeriksaan dalam bilik lain menemui wanita (warga asing) bersembunyi dalam almari pakaian bagi mengelak ditahan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pihaknya menahan dua wanita Thailand dan seorang wanita Vietnam berusia 25 hingga 30 tahun kerana mereka telah menyalah guna pas lawatan sosial iaitu masuk sebagai pelancong namun bekerja sebagai tukang urut di rumah berkenaan.

Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dipercayai penjaga rumah urut itu dan tiga lelaki tempatan yang merupakan pelanggan di situ diarahkan hadir di pejabat JIM Pulau Pinang untuk diambil keterangan.

Muhamad Husni berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu telah mengubah taktik perniagaan mereka dengan menjalankan perkhidmatan tukang urut warga asing di rumah kampung bagi mengelakkan perbuatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Keputusan siasatan kes itu akan turut diserahkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memandangkan rumah kampung berkenaan telah diubah suai untuk dijadikan suatu premis komersial dan tidak memiliki lesen perniagaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya JIM Pulau Pinang menahan 15 warga asing tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bersama ibunya dalam pemeriksaan di sekitar Bayan Lepas, Permatang Damar Laut dan Perai, semalam.

Beliau berkata dalam operasi itu, pihaknya membuat pemeriksaan di restoran tomyam dan menahan seorang lelaki dan tiga wanita Thailand yang bekerja sebagai tukang masak namun mereka telah menyalah guna pas lawatan sosial serta tiada permit kerja.

“Selain itu, kami turut menahan lima wanita Indonesia termasuk seorang kanak-kanak, empat lelaki Bangladesh dan dua lelaki India dalam pemeriksaan di beberapa buah rumah serta pondok pengawal keselamatan,” katanya.

Menurutnya semua mereka berusia dari enam hingga 45 tahun itu ditahan kerana tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa serta tiada permit kerja dan mereka dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.