Presiden MyPPP, Tan Sri M.Kayveas bersama sebahagian barisan kepimpinan tertinggi MyPPP yang hadir menunjukkan keratan laporan media pada sidang media khas mengenai Surat ROS di Celestial Dynasty, Petaling Jaya, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 20 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MyPPP, Maglin Dennis D’Cruz diberikan amaran supaya tidak melakukan percubaan untuk membatalkan pendaftaran parti itu buat kali kedua.

Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas berkata, walaupun mengetahui rancangan ‘jahat’ segelintir ahli parti itu yang tidak mahu parti tersebut bangkit kembali, namun beliau masih lagi bersedia menerima mereka.

Bagaimanapun, Kayveas mendedahkan kumpulan itu bukan sahaja tidak berminat untuk menyelamatkan parti yang boleh dibatalkan pendaftarannya buat kali kedua oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), sebaliknya mereka juga dipercayai merancang agenda lain.

“Pagi ini kita adakan mesyuarat tentang syarat-syarat yang telah diberikan oleh ROS kepada kita. Seandainya kita tidak penuhi apa yang diminta maka ada kemungkinan kita akan berdepan dengan pembatalan pendaftaran buat kali kedua.

“Saya telah memanggil kumpulan ini yang diketuai oleh Maglin sendiri. Mereka juga sebahagian daripada jawatankuasa 2018. Pada masa ini, ROS hanya akui pemilihan 2014 hingga 2019 sahaja.

“Bagaimanapun mereka tidak hadir sebaliknya sesuka hati mengeluarkan kenyataan dalam media sosial, juga ada dengar mereka telah tubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggunakan nama PPP dan logonya.

“Jika kamu mahu selamatkan parti, patutnya duduk semeja dan berbincang, bukan buat kerja di belakang seperti ini.

“Saya beri amaran kepada kumpulan ini, niat saya bersama-sama yang ada bersama adalah menyelamatkan parti supaya tidak dibatalkan parti buat kali kedua. Cara mereka ini nampak tidak betul. Tidak hadir mesyuarat walaupun diberikan peluang.

“Dalam perlembagaan parti, sudah termaktub sebarang kenyataan hanya boleh dikeluarkan oleh parti Presiden, dan ketika ini hanya saya sahaja boleh keluarkan arahan tersebut. Seandainya mereka ini berterusan melakukan ‘porak peranda’ ini, saya tidak akan teragak-agak ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sebentar tadi yang turut dihadiri oleh sebahagian daripada jawatankuasa MyPPP.

Kata Kavyeas lagi, beliau hanya berminat untuk menyelesaikan isu-isu yang menghantui parti itu sebelum menyerahkan jawatan Presiden kepada yang layak menerajui hala tuju MyPPP pada masa akan datang.

“Apa yang pasti, Maglin bukanlah pemimpin yang saya maksudkan itu. Ada orang lain yang lebih layak yang akan membawa hala tuju parti ke landasan yang betul. Bukan Maglin.

“Kita sememangnya ada masalah ketika ini, ROS beri kita syarat termasuk mengadakan pemilihan sebelum 31 Disember ini yang juga perlu mengkiut perlembagaan parti.

Presiden MyPPP, Tan Sri M.Kayveas bercakap pada sidang media khas mengenai Surat ROS di Celestial Dynasty, Petaling Jaya, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 20 OKTOBER 2019.

“Oleh yang demikian, kita adakan mesyuarat tetapi Maglin dan yang lain-lain itu tidak pula datang. Patutnya agenda utama adalah selamatkan parti dan bukan main permainan budak kecil seperti ini.

“Kita juga adakan mesyuarat kerana permintaan ROS dan cabaran dari kumpulan Maglin ini juga, apabila buat tidak mahu hadirkan diri pula, apakah agenda kamu selain kepentingan parti ini? ,” tegasnya.

Dalam pada itu, Kayveas juga mendedahkan beliau sudah menulis surat untuk berjumpa ROS selewat-lewatnya pada minggu depan bagu membincangkan perkara berkaitan MyPPP.

Pada 7 Oktober lalu, ROS memberi kelulusan bersyarat kepada myPPP yang dibatalkan pendaftaran kesan pertikaian domestik sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Antara syarat yang diletakkan ialah parti tersebut perlu bermesyuarat untuk menubuhkan satu badan bebas bagi mengawal dan mengadakan pemilihan parti sebelum 31 Disember ini.

ROS turut menyatakan jawatankuasa parti bagi penggal 2014-2019 bertanggungjawab untuk menyelesaikan pertikaian dalam MyPPP. – MalaysiaGazette