foto: Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Kedai serbaneka tanpa pekerja manusia mungkin agak baharu di Malaysia, tetapi jangan terkejut kerana konsep itu sudah ada di sini termasuk empat kedai di Kota Kinabalu, Sabah, yang telah dikunjungi lebih 10,000 pelanggan untuk membeli-belah, terima kasih kepada EzyBox.

Tiga pengasas bersama EzyBox Allen Tsang, 37, John Lee, 26, dan Chan Jie Yang, 29, semasa melancong ke China dua tahun lepas, kagum dengan populariti kedai serbaneka automatik itu lalu memutuskan untuk menjadi antara pelopor konsep berkenaan di tanah air.

“Walaupun terdapat kebimbangan bahawa pembangunan di Kota Kinabalu tidak sepantas Kuala Lumpur untuk memastikan konsep itu dapat dilaksanakan, tetapi agak mengejutkan apabila golongan muda dan pelancong yang datang ke Sabah kerap mengunjungi kedai kami kerana mereka tahu bagaimana untuk menggunakannya,” kata Tsang.

Beliau berkata, pelanggan hanya perlu ada akaun Wechat untuk memasuki kedai, membuat bayaran menerusi aplikasi e-wallet dan mengimbas produk melalui Teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) untuk mengesahkan pembayaran sebelum membuka pintu untuk keluar.

“Ada orang kata ia terlalu maju dan sukar untuk digunakan, tetapi China telah melakukannya dan mereka telah mengaplikasikan konsep tanpa tunai sejak bertahun-tahun yang lalu. Sekiranya kita ingin menjadi negara maju, kita perlu mula mendidik orang ramai untuk menggunakan kaedah tanpa tunai,” katanya.

EzyBox yang dimiliki oleh IFS Technology Sdn Bhd, mungkin bukan kedai serbaneka tanpa pekerja manusia pertama di Malaysia, tetapi yang pertama untuk mengekalkan model perniagaan mereka dan memperluas rangkaian kedai serbaneka mudah alih itu.

Tsang berkata, mereka bermula setahun lepas dengan empat pekerja dan pada masa ini mempunyai 15 pekerja yang bertanggungjawab menjaga kesemua empat kedai serbaneka di Kota Kinabalu.

“Menyewa kedai dan menggaji pekerja di Kuala Lumpur boleh menelan kos lebih RM10,000 sebulan tetapi di Kota Kinabalu, kami berjaya mengusahakan sebuah kedai bersaiz 180 ke 200 kaki persegi dengan kos kurang daripada RM5,000. Jadi perbelanjaan kami rendah tetapi keuntungan sama seperti kedai serbaneka tradisional,” katanya.

Jualan utama EzyBox adalah makanan ringan dan minuman yang diimport dari China, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom dengan harga berpatutan.

Menggunakan konsep kedai serbaneka tanpa pekerja manusia, orang ramai pastinya tertanya-tanya – sekiranya tiada kakitangan di kedai 24 jam itu, bagaimana mereka berhadapan dengan kes kecurian dan rompakan

“Berbeza daripada kedai tradisional, sistem EzyBox disepadukan dengan aplikasi mobil, jadi kami akan tahu identiti pelanggan yang masih belum membayar item yang dibeli. Jadi, langkah keselamatan ini lebih memudahkan kami untuk menangkap pencuri,” katanya.

Selain itu, Tsang berkata EzyBox mempunyai empat kakitangan khidmat pelanggan profesional yang bekerja sepanjang masa bagi membantu pelanggan.

Malah, dengan adanya akses rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai menerusi telefon pintar, lebih mudah untuk mereka memantau keadaan di dalam kedai, katanya.

Beliau percaya dengan adanya teknologi canggih itu akan membuatkan kedai serbaneka itu lebih selamat sekali gus mengurangkan peluang untuk dirompak.

Kejayaan EzyBox di Kota Kinabalu telah mendorong Tsang dan rakannya untuk mengembangkan perniagaan mereka di Rekascape, Cyberjaya dengan kedai tanpa tenaga kerja manusia pertama akan dilancarkan bulan hadapan.

Mereka juga merancang untuk membuka dua lagi kedai serbaneka konsep serupa di Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk kedai alat tulis pertama tanpa pekerja manusia.

Ditanya sama ada warga Kuala Lumpur akan merasai pengalaman membeli-belah di kedai serbaneka automatik itu, Tsang berkata, mereka memerlukan lebih masa kerana sudah ada beberapa kedai sedemikian di ibu kota yang diusahakan pihak lain tetapi perkembangannya kurang memberangsangkan setakat ini.

“Sudah tentu bukan mudah untuk mendidik orang ramai supaya mengimbas dan membayar menggunakan telefon pintar mereka, tetapi kita perlu mengambil langkah pertama dalam menjadikan masyarakat tanpa tunai, satu realiti.

“Kita boleh lakukan banyak perubahan pada masa hadapan, anda juga boleh memiliki kedai perkasasan, perabot rumah atau pakaian tanpa pekerja manusia, ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Saya percaya satu hari nanti konsep kedai sebegini akan menjadi satu kebiasaan,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast