Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid (tengah) diiringi Pengerusi Perhubu­ngan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (kanan) hadir pada Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi kuasa penuh kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Johari Abdul Ghani untuk menyingkirkan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan yang menjadi pengkhianat di dalam parti itu.

Bercakap di pentas ketika merasmikan Konvensyen UMNO Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, Ahmad Zahid menegaskan, beliau akan memastikan nama-nama pengkhianat itu tidak ada lagi di dalam UMNO minggu depan.

Justeru katanya, beliau memberi mandat kepada Johari untuk mengambil tindakan drastik terhadap pengkhianat terbabit kerana mereka merupakan musuh dalam selimut yang tidak wajar diberi muka lagi.

“Sebab ketika mendapat ghanimah (ganjaran) mereka datang seperti semut datang pada gula. Sekarang ini kita tidak ada gula lagi.

“Datuk Jo (Johari Abdul Ghani) jangan tunggu, bagi nama walaupun saya tahu nama itu, tapi saya mahu saranan rasmi daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan bahawa orang-orang ini tidak harus bersama dengan kita lagi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, individu terbabit tidak pernah membantu pun UMNO ketika parti berada dalam kesusahan selepas hilang kuasa pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Sebaliknya, individu itu melarikan diri terlebih dahulu meninggalkan perjuangan dan mahu merayakan kepayahan sebagaimana yang terpaksa diharungi oleh ahli-ahli UMNOI yang lain.

Ujarnya, keputusan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada Johari untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengkhianat terbabit telah diputuskan oleh jawatankuasa disiplin yang mana bukan sahaja tindakan boleh diambil di peringkat pusat malah, boleh dilakukan di peringkat perhubungan negeri-negeri.

Terdahulu ketika bercakap di pentas sama, Johari berkata, UMNO Wilayah Persekutuan bertekad untuk menghapuskan pengkhianat-pengkhinat yang enggan keluar daripada parti meskipun telah menyertai parti lawan.

Beliau berkata, pihaknya telah mengesan bahawa individu terbabit masih lagi berada di dalam parti meskipun mereka sudah didesak untuk meninggalkan UMNO. – MalaysiaGazette

UMNO Wilayah Persekutuan tekad hapuskan pengkhianat dalam parti – Johari