Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Hari ini adalah hari ke-24 perbicaraan kes perbicaraan berprofil tinggi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan penyewelengan dana sebanyak RM2.3bilion yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Prosiding kes didendar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah dijangka akan bermula sekitar 9.30 pagi ini.

Minggu lepas, peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sudah memberikan bayangan bahawa pihaknya baru selesai hampir 55 peratus dengan pemeriksaan balas saksi ke-9, bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk SHahrol Azral Ibrahim Halmi ketika ini.

Minggu ini, kata Shafee beliau akan mengasak Shahrol dalam beberapa perkara lain – daripada Petro Saudi kepada Aabar, juga hal berkaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

“Saya rasa sudah selesai 55 peratus tinggal 45 peratus lagi untuk memeriksa balas Shahrol. Kita sudah selesai fasa 1 iaitu Petro Saudi, minggu depan kita bercakap pula tentang Aabar dan perkara lain. Pada jangkaan saya, mungkin akan selesai minggu depan,” katanya kepada pemberita di lobi mahkamah.

Ketika pemeriksaan balas Khamis lepas, Shahrol kelihatan terkebil-kebil, terdiam sebelum mengakui dirinya telah menandatangani satu minit mesyuarat ‘palsu’ antara dirinya dan Najib kerana Jho Low mengarahkan untuk melakukan demikian.

Malah ketika diasak bertalu-talu oleh Shafee, Shahrol seolah-olah ‘mati kutu’ kerana apa yang ditandatangani olehnya selaku Ketua Eksekutif 1MDB itu adalah satu pembohongan dan palsu, juga mesyuarat serta perbincangan penting itu tidak berlaku langsung sebaliknya hanya di reka-reka sahaja.

Shafee juga telah memberi bayangan bahawa kredibiliti Shahrol sebagai saksi itu boleh menjadi satu persoalan kerana apa yang dinyatakan dalam penyataan saksi dan ketika pemeriksaan balasnya sungguh berlainan sekali.

Malah Shahrol juga memberitahu Shafee minggu lepas, Jho Low umpama pengarah sebuah okestra muzik dan yang lain-lain hanya sekadar pemain yang perananya hanya Jho Low seorang sahaja yang ketahui.

Shahrol juga tidak menolak Najib berkemungkinan besar juga adalah ‘mangsa’ kepada manipulasi dan pembohongan oleh Jho Low, lebih-lebih lagi banyak maklumat tidak diketahui oleh bekas Perdana Menteri pada ketika itu.

Shafee juga menempelek Shahrol yang padanya menerima habuan gaji sebanyak RM90,000 sebulan, selain daripada 18 bulan bonus namun tidak memainkan peranan serta tanggungjawab dalam 1MDB selama itu setimpal dengan apa yang diterimanya.

“CEO 1MDB dibayar RM 99,000 sebulan dan dapat bonus 18 bulan. Sudah semestinya dia perlu lakukan tugas ini tapi dia tidak melakukannya. Shahrol kata dia terima apa yang dikatakan Petro Saudi 100 peratus tanpa mencari dan membaca laporan tahunan syarikat, malah tak pergi ke website untuk mengetahui siapakah Petro Saudi ini.

“Dia menerima secara membuta tuli dan kemudian akhirnya mendapati bahawa Petro Saudi ini adalah sebuah syarikat palsu. Ia tidak mempunyai aset sebanyak yang ia dakwa.
Itulah apa yang disahkan oleh Shahrol sendiri ketika pemeriksaan balas.

“Tapi perkara paling teruk yang disahkan oleh Shahrol adalah ini tentang Lembaga Pengarah 1MDB tidak gembira dengan urus niaga ini, namun individu-individu ini telah memujuk Lembaga Pengarah untuk meneruskannya kerana Datuk Najib mahukannya.

“Sudah semestinya Datuk Najib mahukannya namun dengan syarat kesemua urusniaga ini sah dan betullah. Jika kesemuanya elok dan sah, semestinya beliau mahu meneruskan ‘joint venture’ ini.

“Jika ia tidak elok, jika diketahui ia adalah penipuan, apa perlunya Perdana Menteri meneruskan urus niaga ini?,” soal Shafee.

Shahrol berterusan dan konsisten meletakan bebanan itu ke atas Jho Low dengan alasan dirinya hanya berbuat itu dan ini atas arahan ahli perniagaan dalam buruan itu. –MalaysiaGazette

Shafee ‘belasah’ hingga Shahrol terdiam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast