KUALA LUMPUR – Demi skuad Tok Gajah, pemain tengah Nor Azam Azih sanggup beraksi dalam kesakitan akibat kecederaan pergelangan kaki ketika berdepan Kedah pada separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Namun risiko yang diambil Nor Azam serta harapan disandarkan jurulatih Dollah Salleh jelas berbaloi apabila menyumbang satu gol ketika membantu Pahang mencatat keputusan seri 3-3 ke atas Kedah.

Dia mengakui terpaksa mengambil ubat penahan sakit bagi memastikan dirinya boleh diturunkan di Darul Aman dan gembira mampu bertahan sehingga penghujung permainan.

“Bahagian kaki sebenarnya bengkak dan sebenarnya saya bermain dalam kecederaan selain belum cergas sepenuhnya tetapi saya masih mahu bermain.

“Masa perlawanan tadi saya telah sedaya upaya cuba beri yang terbaik walaupun diakui mutu permainan tampak sedikit menurun pada penghujung babak kedua.

“Hati saya gembira dapat menjaringkan gol ketiga untuk Pahang biarpun saya agak kecewa kerana Kedah dapat menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir, harap kita akan bangkit di tempat sendiri nanti.

“Bagi separuh akhir kedua, saya harap mampu pulih sepenuhnya dan bersedia tampil dengan aksi lebih baik berbanding di Darul Aman ,” katanya kepada Malaysian Football League hari ini.

Nor Azam dan Faisal Rosli sebelum ini dilaporkan berada dalam kedudukan 50-50 tidak dapat diturunkan oleh Dollah selain Muslim Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha serta Zuhair Aizat Mohd. Nazri yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Bagaimanapun Nor Azam berjaya membentuk gandingan baik dengan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria di bahagian tengah apabila rakan segandingannya itu turut meledak gol sulung Pahang pada minit ke-13 dengan satu lagi jaringan disumbangkan Dickson Nwakaeme pada m-26.

Menurut pemain berasal dari Jengka 21 ini, dia langsung tidak kekok membentuk gandingan bersama Wan Zaharulnizam biarpun mereka berdua mempunyai gaya permainan yang hampir sama.

“Persefahaman kami agak baik walaupun jarang kami diturunkan bersama di bahagian tengah kerana saya lebih kerap dengan Safuwan Baharudin cuma dia kali ini terpaksa beraksi sebagai pertahanan ekoran kecederaan Muslim.

“Kami tiada masalah untuk terus diturunkan bersama dan sebarang kelemahan yang kami pamerkan pada perlawanan ini akan cuba diperbaiki malah corak permainan kami sebenarnya tidak banyak jauh berbeza, ” katanya.

Mengenai peluang Pahang ke pentas akhir, Nor Azam optimis bekalan tiga jaringan di laman lawan sebagai satu kelebihan yang perlu digunakan sebaiknya oleh Pahang.

“Memang kami cepat berasa selesa dan kurang fokus apabila mendahului lawan tadi, saya harap perkara sama tidak akan berulang lagi di Kuantan nanti.

“Bagaimanapun kelebihan tiga jaringan di laman lawan masih dalam tangan kami cuma kami tidak boleh berasa yakin dan perlu fokus dalam mendapatkan kemenangan, ” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast