Penaung Tabung Pahlawan, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali (dua kiri) menerima replika cek sumbangan daripada Pengerusi Adap 4orty Global Sdn Bhd, Datuk Pengiran Daud Pengiran Putera (kanan) bernilai RM1,200,000 sambil diiringi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (dua kanan) pada Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kutipan Tabung Pahlawan 2019 yang sepatutnya berakhir Februari tahun depan kini telah berjaya dikutip melebihi sasaran dengan jumlah sebanyak RM9,196, 379.15.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, kutipan yang dimulakan pada Ogos lalu telah melepasi sasaran awal minimun iaitu RM6 juta.

“Adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperingati segala sumbangan perajurit dan sentiasa menginsafi detik kesengsaraan yang telah dilalui oleh generasi terdahulu supaya kita tidak leka dan terus mempertahankan negara dan rakyat dari segala jenis penjajahan dan ancaman.

“Maka sambutan Hari Pahlawan perlu terus diangkat sebagai detik keramat untuk dijadikan iktibar dan pengajaran yang cukup penting dalam lipatan sejarah negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal Kempen Tabung Pahlawan di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan malam ini.

Hadir sama pada majlis itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri beliau Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Mohamad berkata, sebagai warganegara yang prihatin, beliau menyeru sumbangan yang diberikan oleh penyumbang akan berterusan pada masa akan datang.

Katanya lagi, wang ringgit bukanlah tukaran kepada keamanan namun ianya sebagai lambang rakyat berbahasa kepada mereka yang telah berbudi.

Dana tabung pahlawan akan dimanfaatkan untuk tujuan bantuan kebajikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ahli keluarga secara menyeluruh merangkumi veteran kelainan upaya, bantuan kepada balu dan anak veteran dalam kategori OKU.

Sumbangan juga akan diberikan kepada veteran yang terlibat musibah dan bencana alam, bantuan ihsan bagi veteran dan balu veteran yang dalam keadaan daif, asnaf veteran ATM, bantuan perubatan serta bantuan pendidikan anak veteran ATM yang memerlukan.

Pada tahun ini Jabatan Hal Ehwal Veteran dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kempen tabung berkenaan yang sehingga kini masih diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast