BANGI – Rakyat sebuah negara perlu mengutamakan bahasa sendiri dahulu sebelum mempelajari bahasa lain.
Pengarah Hubungan Luar, Kumpulan SIL Mainland Asia Tenggara, Dr Kirk R Person berkata, penguasaan dalam bahasa ibunda sebenarnya akan memudahkan mereka mahir pula bahasa kedua terutama di kalangan kanak-kanak.
Beliau menjelaskan, seandainya ia tidak dipatuhi, salah satu faktor kekuatan dalam menguasai bahasa sendiri dilihat akan pincang dan tidak sempurna.
“Seseorang itu mesti fasih berbahasa ibunda dahulu dan barulah menguasai berbahasa dengan baik.
“Mereka mesti menunjukkan kemampuan dan bercakap dalam bahasa ibunda dahulu kerana akan memudahkan pembelajaran dalam bahasa lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi speaker Forum: Jambatan Ke Arah Masa Depan Cerah: Program Pendidikan Multilingual Patani-Melayu (PMT-MLE) di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.
Kirk yang menetap 22 tahun di Thailand merupakan tenaga pengajar teknikal sokongan dalam projek multilingual di utara negara itu seperti Chiang Mai dan Chiang Rai untuk kanak-kanak sekolah rendah.
Mengulas lanjut, Kirk memberitahu golongan kanak-kanak cepat mahir mempelajari banyak bahasa menerusi kaedah yang betul.
Malah jelas beliau, pembelajaran bahasa ibunda dan bahasa lain boleh berjalan serentak tanpa menimbulkan masalah dan kekeliruan.
Katanya, ia dapat membuktikan kemampuan sebagai penutur bahasa lain yang fasih selain menyifatkan keutamaan kedua-dua bahasa perlu diberi perhatian sekali gus.
“Jika tahap penguasaan bahasa sendiri mengecewakan jadi tidak ada guna untuk menguasai bahasa lain.
“Sekiranya diberi peluang, setiap individu perlu menguasai lebih daripada dua bahasa selain sentiasa mempunyai keinginan untuk mempelajari bahasa ketiga,” katanya.
Kirk menambah, dengan mengambil contoh PMT-MLE, ia bermula dengan bahasa ibunda apabila kanak-kanak Patani Thailand mengembangkan kemahiran mendengar dan bercakap dalam nada kuat dalam Bahasa Melayu Patani.
Katanya, mereka kemudianya beralih ke bahasa ibunda itu dengan membaca dan menulis.
“Kerajaan Thailand telah memperkenalkan kaedah itu di peringkat tadika lagi.
“Ini membolehkan kanak-kanak mengembangkan penguasaan bahasa ibunda dengan cara mendengar dan bercakap sebelum mempelajari bahasa lain.
“Mereka kemudian memindahkan bacaan dan kemahiran bahasa ibunda itu kepada bacaan dan menulis menerusi peralihan primer.
“Kaedah mendengar-cakap-membaca-menulis adalah urutan semula jadi dalam pengambilalihan bahasa manusia,” katanya. – MalaysiaGazette