Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sekumpulan mangsa ‘permainan wang’ atau money game dari China yang sedang memprotes di Malaysia mendakwa sejumlah RM1.3 trilion yang dilaburkan 3 juta orang mangsa dari negara tembok besar telah ditipu.

Jurucakap mangsa, Chen Ping berkata, anggaran yang dilakukan mendapati sebanyak AS$300 bilion atau bersamaan setahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia telah ditipu oleh satu skim money game di Malaysia.

“Jumlahnya terlalu besar, kami justeru tidak akan berpuas hati jika modal kami tidak dikembalikan,” katanya dipetik China Press.

Pelabur money game dari China itu sebelum ini telah protes di hadapan syarikat di Malaysia. Pada Ahad, lebih 150 mangsa juga bertemu dengan pegawai Kedutaan China di sebuah hotel di Cheras.

Menurut Chen Ping, walaupun 300 mangsa yang sedang berada di Malaysia hanya mempunyai visa yang sah selama 15 hari, tetapi kumpulan mangsa baharu dari China akan datang ke Kuala Lumpur bagi menggantikan mereka yang bakal balik ke negara asal.

Seorang lagi mangsa pula berkata, syarikat money game licik menggunakan pegawai tinggi dan artis popular untuk menyakinkan pelabur.

Dia berharap kerajaan Malaysia akan menggunakan cara “luar biasa”, malahan menggunakan undang-undang kecemasan untuk mengambil tindakan serta mengembalikan modal yang dilaburkan mangsa.

Kata lelaki yang enggan namanya disiarkan China Press itu, saluran undang-undang biasa tidak akan dapat membantu mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast