Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Yb Chong Chieng Jen (kanan) bercakap kepada media diiringi Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin selepas Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia di Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 21 OKTOBER 2019

SUBANG JAYA- Sepanjang sembilan bulan tahun ini, nilai jualan produk dan perkhidmatan tempatan yang dieksport ke luar negara mencecah RM890 billion.

Jumlah itu meningkat RM40 billion daripada rekod nilai yang sama pada tahun 2018, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

Katanya, jumlah besar itu membuktikan produk tempatan mendapat tempat di negara luar khususnya di Indonesia dan China kerana kualitinya.

“Anggapan orang asing khususnya China, Indonesia, mereka memandang produk kita bermutu dan berkualiti, jadi tak akan kita eksport begitu banyak produk kalau tidak bermutu?” soalnya.

Terdahulu Chong melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia ‘Ini Malaysia Punya’ di Mydin Subang Jaya hari ini.

Namun malangnya Chieng Jen berkata, persepsi rakyat dalam negara terhadap mutu barangan tempatan masih perlu diperbaiki kerana ia jelas berbeza dengan penerimaan dan sambutan baik dari negara luar.

“Seperti mana saya sebut walaupun ramai sedar tentang kempen beli barangan Malaysia tapi ramai juga yang beranggapan produk tempatan kurang bermutu datipada produk import ini,” katanya.-MalaysiaGazette