SPRM

Harapkan pegar, pegar makan padi! Itulah rumusan seluruh rakyat Malaysia selepas menyaksikan klip video mengenai kegiatan penyeludupan rentas sempadan yang berleluasa di kawasan Padang Besar, Perlis seperti yang didedahkan oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Aktiviti penyeludupan dan pembolosan di sempadan utara negara Malaysia-Thailand ini, sekali gus mendedahkan betapa bocornya laluan masuk-keluar negara dek amalan rasuah yang dilihat cukup parah dalam kalangan anggota keselamatan dan penguat
kuasa.

Penulis percaya masyarakat cukup kecewa dengan sikap dan tingkah laku mereka. Bayangkan jika video ini tidak didedahkan aktiviti tersebut akan terus berlaku di mana ianya bukan saja merugikan sektor ekonomi malah mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam kita juga.

Rakaman video ini membabitkan aktiviti penyeludupan sejak tahun 2017 hingga 2019 dan kita percaya ianya sudah berlarutan lebih lama dari itu lagi cuma tidak berjaya dihidu seperti ini.

Walaupun lega apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan 10 pegawai kanan polis dan 33 anggota pelbagai pangkat yang dikenalpasti terbabit rasuah berkaitan penyeludupan rentas sempadan, sudah dikenakan tindakan sejak 2014, namun secara peribadi penulis merasakan mereka ini tidak boleh dimaafkan.

Malah, mereka wajar di label sebagai pengkhianat negara. Kita kecewa setelah pelbagai usaha dilaksanakan berterusan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan anggota keselamatan dan penguat kuasa, masalah ini masih berterusan dan terlalu sukar untuk dikawal dan dibanteras sepenuhnya.

Masalah integriti dalam kalangan anggota keselamatan dan penguatkuasa ini perlu diberi perhatian yang lebih serius. Ringkasnya kita tidak mahu perkara ini terus berlaku, misalnya yang ditangkap terus ditangkap, yang menggantikan tempat
mereka juga akhirnya turut terjebak dalam kancah yang sama. Ini menyebabkan masalah rasuah terus berlaku dari satu generasi pegawai ke generasi yang berikutnya.

Walaupun tidak semua yang terbabit, malah masih ramai yang
melaksanakan tugas dengan penuh amanah, jujur dan bermaruah namun tindakan segelintir anggota terus merobek dan merosakkan nama dan imej keseluruhan organisasi dan warga kerja.

Lantaran itu saya menyeru kepada semua pasukan keselamatan dan penguat kuasa jagalah maruah dan nama baik diri dan organisasi. Jangan kerana gelap mata dengan sogokan wang ringgit kita jual dan gadai maruah dan harga diri semudah itu.
Sedarlah wang suapan itu adalah hasil kerja yang haram dan apakah kita mahu ianya menjadi darah daging seluruh keluarga kita.

Cukup-cukuplah makan wang haram, masih belum terlambat untuk bermuhasabah diri dan kembali ke pangkal jalan. Ingat rakyat dan negara meletakkan harapan yang cukup tinggi jadi jangan menghampakan kami semua.

Penulis juga berharap pihak SPRM akan jadikan pendedahan video ini sebagai kayu ukur untuk menilai keseriusan masalah rasuah dalam kalangan penguatkuasa di pintu sempadan seterusnya mengambil langkah yang sewajarnya untuk melakukan proses pembersihan dan pencucian di semua jabatan yang terlibat secara menyeluruh.

Hal ini penting kerana aktiviti penyeludupan dan kebocoran sempadan perlu dihentikan dengan segera demi kesejahteraan ekonomi rakyat dan keselamatan negara. Jangan kompromi dalam soal ini.

polis, imigresen dan semua agensi penguatkuasa yang terbabit dalam proses kerja ini diharap dapat menilai semula dan membuat penambahbaikan yang sewajarnya terhadap prosedur standard operasi (SOP) penempatan dan penggiliran di setiap pintu sempadan negara agar perkara seumpama ini tidak berlaku lagi. Misalnya pegawai yang ditempatkan di pintu sempadan perlu ditukar atau digilir dengan sekerap yang boleh supaya dia tidak menjadi terlalu kebal dan mudah terdedah kepada rasuah.

Malah pemilihan anggota yang ditempatkan di pintu sempadan juga sepatutnya melalui proses saringan yang ketat oleh jawatankuasa khas pemilihan dan penempatan pegawai.

Saringan dan tapisan yang dibuat perlu membabitkan beberapa aspek peribadi pegawai seperti latar belakang keluarga,
kedudukan ekonomi, tempoh perkhidmatan, sikap dan juga tingkah laku. Sesi penilaian dan ujian yang sewajarnya juga perlu dijadikan SOP penting sebelum membuat sebarang penempatan pegawai ke lokasi kerja yang sensitif dan berisiko seperti di pintu sempadan.

Cukuplah segala ketirisan dan penyelewengan yang telah berlaku selama ini. Semoga pendedahan terbaru ini akan meletakkan titik noktah kepada masalah integriti seperti ini secara total.

 

Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategik Korporat dan Komunikasi, UPM.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast