Timbalan Ketua Menteri Kedua Pulau Pinang, Prof Dr R.Ramasamy berjalan keluar selepas selesai memberikan keterangan berhubung dua artikel yang masing-masing disiarkan dalam portal berita MalaysiaGazette dan juga Malaysia Kini awal Oktober ini di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – P. Ramasamy disoal siasat polis lebih tiga jam oleh Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bermula 10 pagi tadi.

Timbalan Ketua Menteri Kedua Pulau Pinang itu berkata, kenyataan dirakam oleh Inspektor Ida tentang dua perkara iaitu kenyataan beliau yang diterbitkan dalam Malaysia Gazette bertajuk kerajaan baharu tetapi polis bertakuk lama dan artikel Malaysia Kini bertajuk “Who am i, Peacemaker or Terrorist” dalam soal LTTE.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu terus menuding jari ke arah portal berita kononnya telah tersalah menterjemahkan kenyataannya.

“Saya masuk pukul 10 tadi dan lebih tiga jam dirakam keterangan oleh Inspektor mengenai dua artikel di Malaysia Gazette dan Malaysia Kini.

“Mereka juga ada dua klip video, ada beberapa laporan polis dan ditanya kepada saya sebelum saya menjawab menjelaskan secara teliti.

“Saya tak setuju dengan cara penterjemahan Malaysia Gazette (Kerajaan Baharu, Polik masih Takuk Lama), maksud asal saya dalam artikel saya di FB dan maksud terjemahan ada sedikit penyelewengan.

“Jadi saya kata saya tak setuju cara penterjemahan yang mana ia beri gambaran saya kritik teruk kepada polis. Tapi kalau kamu baca (kenyataan) asal tak begitu. Jadi saya dipersoalkan dan saya kata saya tak setuju dengan penterjemahan dalam bahasa malaysia dalam Malaysia Gazette,” katanya kepada pemberita hari ini sebelum bergegas meninggalkan tempat itu untuk pulang ke Pulau Pinang sebelum media mahu menyoal lanjut mengenai dakwaannya salah terjemah kenyataannya.

Ketua Penolong Pengarah D5, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Ramasamy dan rakaman keterangan terhadap pemimpin DAP itu.

Tambah Ramasamy, polis juga menunjukkan dua klip video iaitu satu pada 2010 ketika berucap di Kuala Lumpur ketika ahli Politik Penyelaras Parti Naam Tamilar datang ke Malaysia.

“Video kedua pula adalah ketika saya berucap di Chennai, India selepas perang saudara di Sri Lanka di mana saya sudah pun membuat laporan polis mengenainya dua minggu lalu.

“Pada konteks asalnya saya menyatakan perang saudara sudah tamat sdengan penghapusan Pergerakan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) pada 2019 dan masyarakat Tamil di Sri Lanka tiada ada pilihan tetapi ikut lunas-lunas demokrasi,” katanya.

Bagaimanapun katanya kenyataan beliau diputarbelit dan orang awam melabelkan dirinya sebagai pengganas dan penyokong LTTE. – MalaysiaGazette