Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Menteri-menteri Pakatan Harapan (PH)  harus mencapai persetujuan dan kesepakatan untuk tidak menghadiri persidangan berasaskan kaum dan agama, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming.

Beliau berkata, PKR telah memperakui bahawa pemimpin Pakatan Harapan tidak harus hadir persidangan kaum dan agama apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih tidak menghadiri Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

“Adalah jelas bahawa Kongres Maruah Melayu merupakan satu pentas politik dan agenda politik di sebaliknya telah ‘diperkaumkan’ sepenuhnya.

“Ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada pembangunan negara,” katanya dalam wawancara dengan China Press.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan sama ada DAP akan menyatakan kebimbangannya berhubung kehadiran Perdana Menteri dan Menteri-menteri dalam Kongres Maruah Melayu.

“Saya percaya golongan elit yang terbuka dan sederhana juga akan bersetuju dengan kenyataan saya.

“Saya juga tidak akan hadir jika ada orang mahu anjurkan Persidangan Maruah Cina untuk mencabar kaum lain. Bagi saya, ini tindakan yang undur ke belakang dan tidak sesuai dengan wawasan Malaysia baharu,” kata Kor Ming.

Dalam isu lain, Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC) adalah lebih penting daripada perjumpaan antara Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)  dengan Perdana Menteri.

“Jumpa atau tidak jumpa Perdana Menteri merupakan perkara sekunder. Perjumpaan kadang kala hanya demi memenuhi keperluan berita (media),” katanya.

Kor Ming berkata, beliau lebih senang melihat hasil praktikal termasuk penyediaan peruntukan RM15 juta kepada sekolah persendirian Cina dalam Bajet 2020 berbanding mengaturkan perjumpaan.

Beliau juga membidas UMNO kerana cuba meracuni minda dengan mendakwa kononnya UEC adalah bermodelkan pendidikan Taiwan dan berpusatkan fahaman China.

“UEC telah diiktiraf 600 buah universiti seluruh dunia, malahan lulusan dan bakat UEC telah diburu oleh universiti Singapura.

” UEC adalah produk tempatan dan menjadi kebanggaan Malaysia,” katanya.

Kor Ming juga mengkritik MCA sebagai parti yang telah mengecewakan rakyat dan kini hanya tahu mencari kesilapan kecil orang lain. – MalaysiaGazette