Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali. foto FAREEZ FADZIL,
Noor Azlan Ghazali

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tatatertib Universiti Malaya (UM) perlu bersidang dalam menangani isu protes membabitkan graduannya, Wong Yan Ke yang melakukan protes semasa majlis konvokesyen baru-baru ini.

Bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ini kerana tindakan graduan itu melanggar peraturan universiti dan majlis konvokesyen serta berpotensi menjejaskan reputasi UM.

Menurutnya, Jawatankuasa Tatatertib UM berhak menentukan tindakan ke atas Yan Ke.

Tambah Noor Azlan, jika Naib Canselor UM melakukan kesilapan yang tidak relevan dalam menghakimi kes ini, lembaga pengarah universiti dan Kementerian Pendidikan Malaysia boleh bertindak ke atas Naib Canselor.

Malah, katanya, pihak luar boleh mengheret Naib Canselor ke mahkamah.

“Berbalik kepada penuntut – apa yang disuarakan dan cuba diketengahkan bukanlah subjek untuk dihakimi tetapi tindakannya melanggar peraturan universiti dan majlis konvokesyen dan berpotensi menjejaskan reputasi universiti adalah kes yang sah dari tatatertib universiti,” katanya yang menyatakan pandanganya dalam posting seorang pensyarah di Facebook.

Noor Azlan mengingatkan sebarang tindakan perlu dihakimi selayaknya kerana ia adalah kes yang berat.

Katanya, keputusan dalam kes ini akan memberi implikasi pada tindakan masa depan.

“Adakah kita sekarang sedang mengalu-alukan sebarang tindakan yang disukai oleh graduan ketika di atas pentas pada majlis konvokesyen pada masa depan atas kebebasan bersuara?

“Bagaimana pula dengan penyokong LGBT yang mengangkat plakad di atas pentas? atau penuntut mengangkat plakad politik?,” soalnya.

Hujahnya lagi, bagaimana pula jika kemarahan itu terhadap Canselor atau salah seorang hadirin di dalam dewan atau bagaimana jika seorang penuntut mengangkat mesej peribadi baik atau jahat kepada hadirin lain tetapi dilihat oleh semua tetamu.

Tegas beliau, paling penting UM mesti tegas dalam isu ini dan tidak mengheret kepada perdebatan dan pandangan awam.

“Asingkan isu-isu daripada tindakan. Pandangan saya, bertindak neutral dalam menangani sebarang isu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast