Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bimbang dengan sikap pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam menangani isu kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa.

Ia termasuk pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menggesa Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Abdul Rahim Hashim menarik semula laporan polis yang dibuat terhadap Wong Yan Ke susulan protes berkenaan, katanya.

Shamsul Anuar yang kesal dengan situasi itu menyifatkan bahawa kerajaan PH tidak bijak dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Kebebasan bersuara, dan berdemonstrasi memang dibenarkan oleh undang-undang negara. Rakyat diberikan hak untuk melakukannya. Ianya sesuai dengan amalan demokrasi dalam negara ini.

“Bagaimanapun, sebagai rakyat ia bukan bermakna kita boleh melakukan apa saja apatah lagi melanggar undang-undang yang ada. Undang undang mesti dihormati serta dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Lenggong itu lagi, lebih membimbangkan ialah sikap pimpinan kerajaan PH itu sendiri.

“Saya ingin bertanya kepada Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan. Apakah sebenarnya nilai yang kerajaan PH ingin tanam di kalangan pelajar dan mahasiswa di negara ini?

“Apakah sikap biadap, tidak menghormati majlis, tidak sopan, adalah nilai yang ingin dibina pada pelajar dan mahasiswa?

“Nampaknya, kepentingan politik didahulukan apabila berhadapan dengan isu ini. Kalau ini berterusan institusi pendidikan negara akan terus dihina,” soalnya.

Shamsul Anuar merujuk isu graduan kejuruteraan Universiti Malaya (UM), Yan Ke yang melakukan protes sejurus menerima skrol ijazah sarjana muda di atas pentas, sambil melaungkan perkataan ‘Tolak Rasis’; ‘Undur VC’; dan ‘Ini Tanah Malaysia’ baru-baru ini.

Difahamkan, Yan Ke berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober lalu.

Kebanyakan pemimpin PH terutama parti DAP dilihat seperti menyokong perbuatan itu malah, mempertahankan tindakan tidak sopan graduan kejuruteraan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast