Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Prof. Dr. Rofina Yasmin Othman bercakap kepada media pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) di antara Universiti Malaya dan Mr.DIY Sdn. Bhd dan Penyampaian Hadiah Pertandingan ‘’DIY Made Simple 2019’’ di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) sedang membincangkan desakan graduannya, Wong Yan Ke supaya universiti itu menarik balik laporan polis terhadap beliau.

Ahli Lembaga Pengarah UM, Prof Dr Rofina Yasmin Othman berkata, pihaknya masih membincangkan perkara itu dan akan mengumumkan tindakan selanjutnya dalam masa terdekat.

“(Tarik balik laporan polis) itu kita kena tunggu apa-apa keputusan daripada Lembaga Pengarah UM.

“Perbincangan berterusan untuk penambahbaikan proses kami,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara UM dengan Mr DIY Sdn Bhd serta penyampaian hadiah Pertandingan DIY Made Simple 2019 di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Yan Ke, graduan Kejuruteraan Awam mendesak pihak UM menarik balik laporan polis yang dibuat ke atas dirinya bagi membuktikan komitmen institusi pengajian tinggi itu terhadap kebebasan bersuara.

Yan Ke juga mendesak Naib Canselor UM, Datuk Dr Ir Abdul Rahim Hashim tampil dan membuat penjelasan mengenai ucapan didakwa berbaur perkauman ketika Kongres Maruah Melayu (KMM), pada 6 Oktober lalu.

Selasa lalu, pentadbiran UM mengecam keras tindakan Yan Ke yang mengeluar dan menayangkan plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika berada di pentas majlis istiadat konvokesyen universiti itu, pada Isnin.

Yan Ke turut menjerit ‘ini tanah Malaysia’ selepas menerima ijazahnya di atas pentas, Isnin lalu.

Dalam pada itu, Rofina Yasmin mempertahankan kenyataan rasmi Lembaga Pengarah UM semalam bahawa tiada sebarang tindakan tegas terhadap Yan Ke termasuk penggantungan ijazahnya.

“Mungkin universiti lain saya tak dapat nak komen (kes swafoto digantung dua bulan ijazah).

“Sebagaimana yang kita tahu kenyataan-kenyataan telah dikeluarkan, di sini saya tak dapat komen lebih tentang apa-apa tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette