Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) muncul kementerian pertama memiliki Pelan Antirasuah Organisasi yang selari dengan objektif negara bebas rasuah dan berintegriti.

Ia selaras dengan apa yang terkandung dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019- 2023.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan antirasuah itu menjadi panduan pihaknya dalam melaksanakan NACP agar bersesuaian dengan fungsi dan teras utama kementerian yang mempunyai hubungan atau tanggungjawab langsung dengan masyarakat.

Beliau berkata pelan yang direalisasikan oleh Bahagian Integriti KPDNHEP diharap dapat membantu hasrat kementerian membanteras amalan rasuah serta membela kepentingan pengguna.

“Pelan ini memberi fokus kepada empat bidang keutamaan iaitu Penguatkuasaan Undang-Undang; Pentadbiran Sektor Awam; Perolehan Awam dan Tadbir Urus Terbaik serta Berintegriti Tinggi.

“Keempat-empat bidang yang dipilih adalah berasaskan isu-isu dan cabaran yang dihadapi melalui aktiviti utama yang memberi impak kepada KPDNHEP sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk melindungi hak pengguna dan peniaga,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelan Antirasuah Organisasi KPDNHEP dan Majlis Perhimpunan Bulanan KPDNHEP di kementeriannya hari ini.

Saifuddin menambah, proses merangka pelan tersebut bermula sejurus Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan NACP awal tahun ini dan mengarahkan semua kementerian memiliki pelan sedemikian.

Beliau berkata, selepas ini kementeriannya akan menggerakkan program advokasi terhadap 3,000 kakitangan.

“Program advokasi perlu diadakan supaya pelan OACP KPDNHEP difahami dan dihayati oleh kesemua kakitangan. Kita harap dalam menjalankan tugas, mereka dapat menterjemahkannya, tahu apa yang boleh dan tidak,” katanya.

OACP KPDNHEP memberi fokus kepada empat bidang keutamaan iaitu penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perolehan awam dan tadbir urus terbaik dan berintegriti tinggi.

Keempat bidang itu adalah berasaskan isu dan cabaran dihadapi melalui aktiviti utama yang memberi impak kepada KPDNHEP sebagai kementerian bertanggungjawab melindungi hak pengguna dan peniaga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast