Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan tindakannya mengumumkan peruntukan RM4 juta untuk menaik taraf infrastruktur sukan di Tanjung Piai.

Malah beliau berkata, Allahyarham Datuk Dr. Md Farid Md Rafik tahu akan peruntukan berkenaan semasa beliau memegang kerusi Parlimen Tanjung Piai.

“Kalau saya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam infra sukan tak boleh meluluskan permohonan yang dah dibincangkan lama apabila arwah masih hidup, jadi saya tak tahu apa lagi saya boleh buat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Minggu lalu, Syed Saddiq mengumumkan peruntukan persekutuan berjumlah RM4 juta bagi menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi di kawasan itu.

Ahli Parlimen Muar itu juga berkata permohonan itu dipohon sendiri oleh Allahyarham yang merupakan sebahagian daripada peruntukan RM14.6 juta.

Ditanya mengapa peruntukan itu perlu diumumkan tatkala tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai akan mengambil tempat bulan depan, Syed Saddiq menegaskan, kenyataan itu dibuat bagi menjawab soalan media.

“Sebab media tidak pernah tanya saya dulu dan sekarang media tanya apa pembangunan sukan ada di sini (Tanjung Piai).

“Saya tidak pergi ke pentas dan umum ini peruntukan baru diluluskan, tidak. Media tanya saya apa pembangunan sukan ada di sini maka saya jawablah,” katanya. – MalaysiaGazette