Liew Vui Keong.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini bersetuju untuk mengeluarkan satu jadual khas kepada Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Datuk Liew Vui Keong, langkah itu bagi memantau kehadiran kesemua Ahli-ahli Parlimen kerajaan dalam usaha memastikan tiada lagi isu tidak cukup korum di Dewan Rakyat ditimbulkan oleh pembangkang.

“Saya dah beri amanat untuk adakan satu jadual khas dan adakan peraturan untuk pastikan Ahli Pembangkang tak bersuara isu itu.

“Saya telah pun maklumkan kepada semua Ahli Parlimen berkenaan kehadiran dan prestasi kena dipertingkatkan pada masa jadual Menteri dan Timbalan Menteri juga ditambah dalam dewan,” katanya ketika di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Vui Keong berkata, beliau akan mengambil inisiatif sendiri dengan mengambil kehadiran di dalam dewan dan melaporkan sebarang ketidakhadiran kepada presiden parti dan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya mengenai cadangan agar mengumumkan senarai nama Ahli-ahli Parlimen yang kerap tidak hadir ke Dewan Rakyat, Vui Keong jelas menolak cadangan itu.

Ujarnya, aspek kehadiran semua Ahli Parlimen adalah di bawah ketua whip masing-masing untuk membuat tindakan.

“Saya tak setuju pasal saya akan maklumkan kepada ketua whip dan yang akan maklumkan kepada ahli di parti, jadi saya rasa selepas itu terpulang kepada ketua whip untuk edarkan nama nama tak hadir,” katanya.

Khamis lalu, Dewan Rakyat ‘kosong’ apabila Ahli Parlimen termasuk Menteri dan Timbalan Menteri didapati ‘ponteng’ atau tidak hadir ke sesi persidangan Dewan Rakyat.

Perkara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri terhadap Ahli Parlimen kerajaan yang culas hadir ke sesi Dewan Rakyat.

“Kita dapati kadang-kadang Menteri berada di luar negara kerana sekarang terlalu banyak mesyuarat antarabangsa yang mereka perlu hadiri dan bagi Ahli Parlimen biasa mereka juga kadang-kadang ada masalah lain.

“Kadang-kadang mereka tidak ada dalam dewan tapi ada dalam bangunan ini. Jadi mereka boleh dipanggil dengan menggoncang loceng. Kita bagi amaran kepada mereka supaya hadir,” kata Dr. Mahathir, pagi tadi. – MalaysiaGazette