Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersalaman dengan anggota polis yang hadir pada Majlis Anugerah Sukan Polis DiRaja Malaysia 2018 di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pulapol, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 22 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Polis memberi jaminan akan sentiasa memberikan hak yang dibenarkan oleh undang-undang kepada keluarga semua tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berkait dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ahli keluarga kepada mereka yang ditahan turut dibenarkan untuk melawat dan mereka diberikan kemudahan itu.

Katanya, beliau bersimpati dengan keluarga tahanan lebih-lebih lagi perayan Deepavali yang bakal diraikan oleh mereka semakin hampir.

“Itulah yang sedang dilakukan oleh pasukan penyiasat untuk mempercepatkan kes fail siasatan bagi diangkat segera ke Peguam Negara bagi membuat keputusan sama ada mendakwanya di mahkamah.

“Proses itu memerlukan masa, saya bersimpatilah dengan perayaan Deepavali yang semakin hampir, tindakan pihak saya itu semata-mata dibuat berdasarkan kepada keperluan kepentingan keselamatan.

“Bagi keluarga yang masih lagi tidak berpuas hati, saya memberikan jaminan bahawa keadaan suami atau saudara mereka di dalam tahanan itu sentiasa dijaga dan kita akan memberikan segala hak yang dibenarkan oleh undang-undang kepada keluarganya untuk melawat suami mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan PDRM 2018, di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid meminta supaya keluarga tahanan bersabar sementara kertas siasatan disiapkan oleh pegawai penyiasat ekoran proses yang dilalui memang seperti itu.

Ujarnya, meskipun kertas siasatan itu sudah siap dan dihantar ke Peguam Negara nanti, polis mungkin boleh menyambung semula siasatan sekiranya Peguam Negara masih belum berpuas hati dengan siasatan awal yang dilakukan.

“Jika belum lagi berpuas hati dia (Peguam Negara) boleh minta polis untuk menyambung siasatan dalam sudut yang lain.

“Peguam negara boleh minta polis untuk lihat bukti lain atau apa saja, proses seperti itu. Jadi bersabarlah,” ujarnya. – MalaysiaGazette