Menteri Kewangan, Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM2.7 bilion bagi melunaskan hutang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan SRC International pada tahun depan manakala untuk tahun ini kerajaan membelanjakan RM2.4 bilion.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, untuk baki tahun ini, masih terdapat dua bayaran yang perlu dibuat oleh 1MDB iaitu bayaran faedah bon 1MDB Energy Ltd. (1MEL) sebanyak AS$52.4 juta (kira-kira RM219.2 juta) yang akan dibayar pada 11 November ini.

Satu lagi bayaran adalah bagi faedah sukuk Nota Sederhana Islamik berjumlah RM143.75 juta yang akan dibayar pada 29 November ini.

Katanya, hutang dan liabiliti 1MDB (termasuk faedah) pada masa ini adalah sebanyak RM51 bilion termasuk RM8.93 bilion yang telah dibayar oleh Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada 18 Oktober  lalu, 1MDB menurut Guan Eng, telah membuat pembayaran faedah sebanyak AS$50,312,500 bagi pelunasan bayaran faedah bon terbitan 1MDB Energy (Langat) Ltd (1MELL) dengan menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang telah berjaya dikembalikan bernilai kira-kira RM1.45 bilion setakat ini/

Bon yang bernilai AS$1.75 bilion itu diterbitkan pada 19 Oktober 2012 dan akan matang pada 18 Oktober 2022.

“Kerajaan ini tetap komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran kleptokrasi terdahulu.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap benar apabila menyatakan adalah suatu keajaiban Malaysia tidak jatuh bankrap akibat kerosakan yang dilakukan rejim kleptokratik terdahulu, yang menjadikan tabung negara sebagai milik peribadi. Bahkan seperti yang beliau katakan, kerosakan tersebut bukan sahaja daripada segi kewangan tetapi juga keinstitusian.

“Dr Mahathir berkata bahawa salah satu daripada cabaran terbesar selepas menumbangkan rejim kleptokratik itu ialah membersihkan kerosakan yang ditinggalkan dan membina semula negara kerana ia perlukan banyak usaha, masa dan kewangan, sambil menambah, “Apa yang kami temui adalah jauh lebih teruk daripada apa yang kami percaya”.

“Kesan daripada kejadian-kejadian tersebut, sebanyak RM5.1 bilion akan digunakan untuk melunaskan hutang 1MDB dan SRC untuk dua tahun ini sahaja pada 2019 dan 2020, wang “rompakan” yang sepatutnya boleh digunakan untuk kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Namun begitu, kerajaan persekutuan menurut Guan Eng, masih mampu meneruskan program pembangunan dan kebajikan rakyat walaupun terpaksa menanggung beban kewangan yang berat.-MalaysiaGazette