Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu

KUALA LUMPUR – Ronnie Liu dicabar mengemukakan usul mengeluarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari Pakatan Harapan (PH) bagi membuktikan DAP adalah sebuah parti politik yang kuat.

Timbalan Ketua PPBM Bahagian Seputeh, Mohd Badrul Ezan mendesak Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP itu bersuara, jika beliau tidak berbuar demikian maka Ronnie sewajarnya dipecat daripada DAP.

“Kalau betul DAP  sehebat yang Ronny rasakan, saya cabar supaya Si Ronny buat usul dalam Mesyuarat CCC akan datang supaya Bersatu (PPBM) dikeluarkan dari Pakatan.

“Kalau tak, DAP harus pecat manusia-manusia seperti Si Ronny yang semakin banyak dalam DAP.

“Pakatan tak akan survive kalau ada duri-duri seperti Si Ronny ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ronnie yang menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa PPBM.

Beliau turut memberi amaran Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.

Bagaimanapun, ahli DAP itu terus ditempelak kerana menafikan kemenangan gabungan tersebut pada pilihan raya yang lalu adalah daripada sumbangan tsunami Mahathir yang berjaya meloloskan benteng UMNO.

DAP pula, menurut Mohd Badrul, tidak akan menang tanpa undi daripada Melayu.

“Si Ronny masih tidak dapat menerima hakikat bahawa kemenangan Pakatan pada PRU 14 sebelum ini adalah disebabkan oleh Tsunami Mahathir. Benar kerusi Parlimen yang dimiliki oleh Bersatu hanya 26 sahaja.

“Tetapi harus diingati bahawa Bersatu bertanding di kubu-kubu kuat UMNO. Untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut juga bukanlah semudah seperti yang digambarkan. Dan benar, DAP berjaya merampas beberapa kerusi yang sebelum ini dianggap mustahil, tetapi adakan kerusi tersebut dimenanginya sendirian tanpa bantuan daripada undi Melayu,” ujarnya.

Pada akhirnya kenyataan Ronnie ini, jelasnya, hanya memberi kesan negatif kepada PH khususnya mewujudkan persepsi buruk dalam kalangan kaum Melayu. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.