Sineenat Wongvajirapakdi. foto Agensi

BANGKOK – Raja Thailand, Raja Vajiralongkorn telah melucutkan status Sineenat Wongvajirapakdi sebagai peneman diraja kerana tidak setia dan tidak berkelakuan baik.

Sineenat Wongvajirapakdi didakwa terlalu bercita-cita tinggi dan cuba meletakkan kedudukannya sama seperti permaisuri.

“Tingkah laku peneman diraja disifatkan tidak sopan,” kata kenyataan rasmi.

Sineenat dilantik sebagai peneman diraja pada Julai lalu, selepas dua bulan Raja Vajiralongkorn mengahwini Permaisuri Suthida, isteri keempatnya.

Beliau juga adalah bekas Mejar Jeneral dan juruterbang terlatih, jururawat dan pengawal peribadi yang diberi gelaran Royal Noble Consort dalam tempoh hampir satu abad.

Permaisuri Suthida pula adalah bekas pramugari dan Timbalan Ketua Unit Pengawal Diraja yang berumur 41 tahun – adalah kekasih lama Raja Vajiralongkorn dan sering bersama raja sejak bertahun-tahun.

Pengumuman pelucutan status Sineenat diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada hari Isnin.

Dalam kenyataan itu, Raja Vajiralongkorn berkata, Sineenat ‘tidak bersyukur atas gelaran yang diberikan kepadanya, dan tidak juga bertindak dengan wajar mengikut statusnya”.

Raja Thailand juga mengarahkan semua gelaran diraja, status penjaga diraja dan pangkat tentera ditarik balik. – MalaysiaGazette