Dr. Mohd Radzi Jidin

 KUALA LUMPUR –  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) amat kesal dengan kenyataan biadap dan tindakan tidak berdisiplin ADUN DAP, Ronnie Liu, yang menyebut bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak memerlukan Bersatu dalam gabungannya serta memperlekehkan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin berkata, sebagai salah seorang ahli parti gabungan PH, Liu sepatutnya menghormati Dr. Mahathir selaku Pengerusi PH dan juga pengerusi salah satu parti komponen PH, iaitu Bersatu.

“Bersatu menyambut baik kenyataan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, bahawa  Ronnie Liu akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin DAP kerana tindakan beliau dianggap telah mensabotaj parti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Liu yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP dalam tulisannya yang bertajuk Mahathir: The paper tiger mempertikaikan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti yang diterajuinya iaitu Bersatu.

Beliau berkata, DAP, PKR, Amanah, Warisan dan UPKO yang secara keseluruhannya mempunyai 113 kerusi parlimen cukup untuk membentuk kerajaan tanpa Bersatu.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, Bersatu menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti-parti gabungan PH agar menekankan soal tataetika, disiplin dan sikap saling hormat- menghormati bagi menjaga keharmonian PH.

Rakyat, katanya, telah membuat keputusan memilih PH yang dipimpin oleh Dr. Mahathir dalam Pilihanraya Umum ke-14, justeru kepimpinan gabungan itudi pelbagai peringkat bertanggungjawab mendokong penuh Perdana Menteri dalam usaha beliau unmemastikan hasrat dan aspirasi rakyat dapat diterjemahkan dengan cemerlang.

“Bersatu mengingatkan seluruh keahliannya, dan keahlian parti-parti komponen PH untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja membela nasib rakyat yang menjadi asas kemenangan di PRU14 dan pembentukan Kerajaan Malaysia baharu,” katanya. – MalaysiaGazette