Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA LUMPUR- Petronas bukan hanya kisah kejayaan di bumi Malaysia, malah di peringkat dunia.

Ia, yang diwujudkan pada 1974 susulan Akta Kemajuan Petroleum, telah berkembang daripada menjadi pengawal selia minyak dan gas negara kepada syarikat minyak dan gas bersepadu yang telah maju sepenuhnya dengan perniagaan di seluruh rantaian nilai sektor itu.

Walaupun melakar banyak kejayaan dan pencapaian, Petronas masih terus berusaha melaksanakan penambahbaikan di bawah teraju Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin sejak empat tahun lepas, yang begitu mementingkan budaya kerja yang baik.

Beliau berkata, usaha menerapkan budaya itu bermula ketika dirinya memegang jawatan ketua pegawai eksekutif bagi perniagaan hiliran Petronas pada 2012, malah langkah tersebut kemudiannya diteruskan bagi seluruh syarikat apabila menjawat jawatan terkini pada 2015.

“Ramai pihak boleh mengatakan mereka mewujudkan budaya yang baik, namun persoalannya apakah budaya baik itu tidak ramai yang mempunyai jawapan bagi persoalan sedemikian,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, asas bagi budaya kerja yang baik bermula dengan pengalaman kerja yang baik di syarikat.

“Pengalaman akan membentuk satu kepercayaan sama ada Petronas merupakan sebuah organisasi yang sangat mementingkan birokratik atau sebuah organisasi yang tidak cekap,” katanya.

Kepercayaan itu lantas akan diterjemahkan kepada tindakan yang akan menghasilkan pencapaian.

Wan Zulkiflee berkata, dalam menjawab persoalan budaya kerja yang baik, Petronas mengetengahkan enam pegangan budaya kerja akan menjadi bahagian penting dalam visi budaya kerja baik syarikat, bermula dengan penekanan kepada pencapaian diikuti pelaksanaan fokus.

“Ketiga ialah semangat kekitaan atau rasa termilik. Sekiranya setiap orang bersikap dan merasakan ini adalah syarikat ayah mereka, semuanya akan baik-baik,” katanya.

Beliau berkata, pegangan lain ialah memupuk kepercayaan, memberi maklum balas dan berkongsi kejayaan atas usaha bersama-sama sebagai sebuah pasukan selain mengelakkan bekerja secara sendirian.

“Malah jika anda ke Itali atau Afrika Selatan, mereka amat memahami apa yang saya katakan dan semua itu bukan hanya untuk operasi di Malaysia,” katanya.

Wan Zulkiflee berkata, syarikat juga mengambil berat mengenai aspek pembangunan bakat dan menyediakan kira-kira RM400 juta setiap tahun untuk tujuan berkenaan.

Beliau berkata, pembangunan bakat merupakan satu daripada empat perbelanjaan tahunan yang diteruskan biarpun kitaran harga minyak tinggi atau rendah, selain dikhususkan untuk aktiviti cari gali minyak, penyelidikan dan pemberian biasiswa.

Di samping budaya kerja baik, Petronas juga dibangunkan menerusi nilai-nilai bersama yang diterapkan oleh bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif, Allahyarham Tun Azizan Zainul Abidin semasa memegang jawatan itu bagi tempoh 1988 hingga 1995, iaitu kesetiaan, profesionalisme dan integriti.

“Bagi integriti, kami mempunyai ketua pegawai integriti (CIO), secara peminjaman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang melaporkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata, CIO akan menjalankan program kesedaran berterusan, yang juga sebahagian daripada persediaan Petronas untuk pelaksanaan peruntukan liabiliti korporat, di bawah seksyen baharu iaitu Seksyen 17A Akta SPRM (Pindaan) 2018.

Berdasarkan peruntukan undang-undang baharu itu, pihak korporat boleh didakwa sekiranya mereka gagal untuk membuktikan langkah mencukupi telah diambil untuk mengesan, menghalang dan bertindak balas terhadap kes rasuah. – MalaysiaGazette