Azhar Azizan Harun. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjawab aduan lokaliti Kampung Ulu Pulai yang didakwa jauh dari pusat mengundi.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, perubahan itu dilakukan mengikut perubahan sempadanan pentadbiran Daerah Pontian dan Daerah Johor Bahru berdasarkan pengesyoran persempadanan baharu tahun lalu.

Katanya, pada PRU-13, kampung berkenaan terletak dalam Daerah Mengundi Kampung Pulai DUN Nusajaya di bawah Parlimen Gelang Patah dan pusat mengundinya adalah Sekolah Kebangsaan Kampung Pulai.

“SPR telah membuat syor persempadanan baharu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang diluluskan di Parlimen pada 28 Mac 2018.

“Sehubungan itu, dengan pewartaan syor tersebut pada 29 Mac 2018, terdapat beberapa kawasan bahagian pilihan raya sedia ada yang telah berubah mengikut syor baharu itu.

“Berdasarkan persempadanan baharu itu, Kampung Ulu Pulai telah berubah Daerah Mengundi Bandar Pekan Nenas Selatan, DUN Pekan Nanas dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai dan mereka mengundi di SJKC Yu Ming 1 pada PRU-14,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Azhar Azizan, perubahan itu dilaksanakan setelah mengambilkira sempadan pentadbiran Daerah Pontian dan Daerah Johor Bahru.

Menurutnya, bagi mengatasi kesesakan serta waktu tunggu lama, dua saluran khas untuk pengundi warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pengundi OKU disediakan SPR.

“Selain itu SPR juga telah mengurangkan bilangan pengundi di setiap saluran daripada 750 orang kepada 600 orang, menyediakan tanda arah di pusat mengundi untuk menyalurkan aliran pergerakan pengundi serta menyediakan zon menunggu kepada pengundi di setiap saluran.

“SPR sentiasa terbuka kepada cadangan penambahbaikan dan sentiasa berusaha untuk menjaga keselesaan pengundi serta melaksanakan pilihan raya yang telus berintegriti dan mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette