GOMBAK – Dr Maszlee Malik tidak mempunyai idea bahawa terdapat usaha ketika ini untuk memberi tekanan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.
Menteri Pendidikan itu menambah, beliau juga tidak pernah mendengar tentang spekulasi itu.
“Saya tidak idea. Awak boleh beritahu saya jika ada idea.
“Jika anda mendengar sesuatu, beritahu saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di UIAM di sini hari ini.
Maszlee diminta mengulas sama ada tindakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu mencadangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membuang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada gabungan itu sebagai usaha memberi tekanan kepada Mahathir.
Kenyataan Liu semalam menyifatkan PH akan tetap berjaya tanpa Bersatu.
Maszlee turut menyokong tindakan pantas DAP yang akan merujuk Ronnie ke jawatankuasa disiplin parti berhubung kenyataan yang didakwa mempersoalkan kesepakatan PH itu.
Ia berikutan ulasan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke bahawa kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek itu tidak wajar dan bukan mencerminkan pendirian parti. – MalaysiaGazette