KUALA LUMPUR – Keputusan parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai 16 November ini tidak akan mengugat peluang Barisan Nasional (BN) dalam merampas semula kerusi tersebut daripada Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, MIC dan BN optimis kerana status Gerakan sebagai parti neutral yang tidak berpaksikan kepada kerajaan atau pembangkang tidak mungkin mengancam atau mengganggu kempen calon BN.

Beliau juga mengesahkan Barisan Nasional akan membuat keputusan calon PRK itu dalam sehari dua ini.

Katanya, Sejak PRK Cameron Highlands peluang BN untuk menang dalam setiap pilihan raya tidak pernah tergugat.

“Saya percaya pucuk pimpinan BN yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah ataupun akan membincangkan dengan kepimpinan MIC kelak dalam menentukan bakal calon pembangkang yang akan mencabar calon PH nanti.

“Walaupun Gerakan sudah mengesahkan ia akan menurunkan wakilnya sebagai calon bebas di situ menjelang penamaan calon 2 November ini, ia langsung tidak akan mengugat peluang cerah BN untuk merampas semula kerusi itu dari PH, baik calon parti memerintah sendiri.

“Kami tak rasa Gerakan dalam kedudukan kukuh dan mampu meyakinkan pengundi Tanjung Piai kali ini memandangkan ramai mungkin akan melihat ia sebagai pertembungan besar antara BN sebagai mantan pemerintah yang kini muncul pembangkang kuat dan kerajaan PH yang terdesak untuk mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya dengan majoriti kecil kurang 500 undi,” ujarnya.

Beliau terdahulu selaku Ahli Lembaga Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) mewakili Pengerusi institut berkenaan, Tan Sri S.A.Vikneswaran menyerahkan cek pinjaman dan biasiswa pendidikan berjumlah RM3.24 juta kepada 305 pelajar India.

Ditanya sejauh mana beliau yakin dengan peluang BN untuk menang, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, sokongan daripada segenap lapisan masyarakat berbilang kaum telah kembali secara memberangsangkan kepada BN selepas pertukaran kerajaan.

Menurutnya, trend itu dapat dilihat menerusi keputusan setiap PRK sejak pertukaran pemerintah pada 9 Mei 2018.

“Rakyat sudah sampai pada satu tahap yang mana sudah ada kemantangan menilai peranan yang dimainkan BN sebagai pembangkang serta membezakannya dengan kerajaan PH hari ini maka saya percaya Tanjung Piai akan menjadi satu lagi medan kemenangan untuk BN nanti.

“Rakyat yang dulu percaya dengan janji bulan dan bintang PH kononnya akan hapuskan tol, pinjaman PTPTN, turunkan harga minyak serta terutama sekali memansuhkan SOSMA 2012 kini sudah memungkirinya dan ia sudah disedari rakyat dan mula memihak BN yang lantang memperjuangkan segala kegagalan PH dalam menangani isu serius itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast