Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pelik dengan gelagat Pakatan Harapan yang tidak henti menyerang beliau dan mengaitkannya dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

“Senang cerita, lima kali dia orang tukar tiang gol untuk serang saya. Pertama, kalau ya pun terdesak sebab sudah hura-hara sangat masalah dalaman anda, tak kan dengan saya yang tiada apa-apa jawatan pun rasa tergugat?

“Kedua, Pakatan Harapan tidak ada kerja lain? Ekonomi merudum, rakyat sengsara. Sibuk sangat hendak berpolitik sampai lupa tanggungjawab!” katanya dalam hantaran terbaharu di laman Facebook.

Menurut Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO, dalam tempoh seminggu ini Pakatan Harapan menuduhnya dengan pelbagai konspirasi termasuk mendalangani gerakan menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan.

“Siapa saya untuk tentukan Anwar jadi Perdana Menteri atau tidak? Saya bukan pemimpin kerajaan. Malah, jawatan tertinggi dalam UMNO dan BN pun tiada,” katanya mengulangi kenyataan yang pernah dilontarkan ketika menjawab soalan wartawan di lobi Parlimen kelmarin.

Bekas menteri pertahanan itu turut menarik perhatian mengenai tuduhan bahawa beliau menggerakkan kempen untuk menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah yang mana menurut beliau perkara itu tidak relevan sama sekali kerana Pilihan Raya Umum ke-15 bukannya esok.

Beliau juga melahirkan rasa pelik apabila dikatakan bahawa artikel dan tulisannya rasis.

“Sejak bila mengajak rakyat Malaysia yang berbilang bangsa untuk bersatu padu, rasis. Pemimpin Pakatan Harapan baca atau tidak artikel saya sebenarnya?” soal Hishammuddin.

Beliau kemudian merujuk kepada kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa gerakannya itu disebabkan mahu mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dan hari ini iaitu yang terbaharu, beliau dikatakan pula mempengaruhi 30 Ahli Parlimen untuk menyertai PH demi mempertahankan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Pulak dah? Siapalah saya ini untuk pengaruh MP? Saya sebetulnya berasa cukup tersinggung, mereka wakil rakyat dan pemimpin, ini satu penghinaan terhadap kami semua!” katanya.

1 Komen

  1. KEPALA KETUA DAH TERBELIT Macam mana yang BAWAH tak TERBELIT,Pasal Lambang NYA Lambang BELIT Jadi La PEMBELIT.Jadi Kerja Nya PUN KERJA PEMBELIT.

Comments are closed.