Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) bercakap selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Datuk ONN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menggerakkan jenteranya untuk berkempen membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 28 Oktober ini.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jentera pergerakan itu dari seluruh negara akan ditempatkan di 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Parlimen Tanjung Piai.

“Kita telah memperincikan segala gerak kerja dan akan menggerakkan seluruh jentera Pemuda UMNO untuk berkampung di Tanjung Piai bermula 28 Otober ini.

“Pada hari itu pelancaran jentera Barisan Nasional dan Pemuda akan diadakan dan kemudian dibahagikan kepada 27 PDM.

“Setiap PDM ini akan ada Pemuda Bahagian angkat dan Exco Pemuda angkat yang akan memperincikan dan menyelaras gerak kerja kita sepanjang kempen PRK ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO di Bangunan Dato Onn di sini, hari ini.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Dr. Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Berikutan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November ini hari penamaan calon, manakala hari mengundi pada 16 November. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast