Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mahu kerajaan menyemak semula keputusan pengharaman komik Inisiatif Jalur dan Jalan: Meraih Manfaat Bersama.

Penasihat DAP itu juga tidak bersetuju dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mendakwa buku komik Hew Kuan Yaw itu mempromosi perjuangan komunis.

“Saya mempunyai banyak perbezaan idea dan pemikiran dengan Hew dan saya belum berpeluang untuk membaca buku komik beliau ketika isu ini menjadi hangat, tetapi saya percaya yang beliau bukanlah seorang komunis ataupun seorang yang bersimpati dengan komunis,” katanya dalam blognya hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu terkejut kerana komik yang sama diambil tindakan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurutnya, janji ke-27 dalam Buku Harapan secara terang-terangan menyeru pemansuhan undang-undang menindas itu.

Mengenai Hew, Kit Siang menganggapnya seorang yang bersemangat “darah muda” yang berbeza daripada orang lain.

Bagaimanapun adalah mustahil Hew mahu menjadi seorang komunis ataupun memperjuangkan komunisme.

“Saya telah mengenali Hew Kuan Yaw selama tiga dekad, sejak daripada hari awal perjuangan beliau untuk sebuah Malaysia yang lebih baik dan adil.

“Walaupun beliau merupakan seorang yang bersemangat “darah muda” yang lain daripada yang lain, sehingga kelihatan seperti seorang yang kasar, tidak beradab dan memalukan, saya tidak percaya yang beliau akan sekali-kali memperjuangkan komunisme, apatah lagi menjadi seorang komunis,” katanya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.