KUALA LUMPUR – AirAsia dinamakan sebagai Pemangkin Digital Tahunan Terbaik Asia Pasifik pada Anugerah Transformasi Digital IDC (DXa) 2019 menewaskan lebih 11,000 syarikat lain yang dicalonkan.

Anugerah itu diterima Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes di Pusat Konvensyen Raffles, Singapura.

“Dinobatkan sebagai Pemangkin Digital Terbaik Tahunan bagi Malaysia adalah pencapaian yang amat membanggakan saya.

“Diiktiraf sebagai yang terbaik di Asia Pasifik membuktikan bahawa program digitalisasi kami mempunyai impak besar terhadap pelanggan kami dan industri, justeru saya amat berbangga untuk menerima anugerah ini bagi pihak Allstars (kakitangan AirAsia),” kata Tony dalam satu kenyataan.

Anugerah itu mengiktiraf keupayaan dan kecemerlangan dalam menggerakkan teknologi inovatif, produk dan perkhidmatan khusus, pengoptimuman pendapatan sampingan serta perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatkan.

Teknologi baharu AirAsia termasuk pengkomputeran awan, pengoptimuman harga melalui pembelajaran mesin, peti sembang (chatbox) dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), ciri-ciri aplikasi mudah alih yang dipertingkatkan dan teknologi pengenalan wajah.

IDC DXa juga mengiktiraf kepimpinan, bakat dan infrastruktur luar biasa AirAsia yang membantu menyokong strategi digital baharu syarikat berkenaan.

Anugerah itu memberi pengiktirafan terhadap pencapaian organisasi yang berjaya melaksanakan transaformasi digital dalam satu atau beberapa bidang perniagaan menerusi aplikasi digital dan teknologi disruptif. – MalaysiaGazette