Datuk Azrainuddin Zainal bertukar memorandum persefahaman dengan Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Inovatif, Shahawati Umar pada Simposium Blockchain Antarabangsa 2.0 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syarikat perintis teknologi Blockchain di Malaysia, BCMY Pte. Ltd. (BCMY) mengorak langkah ke hadapan apabila bekerjasama dengan Kolej Antarabangsa Inovatif (KAI) bagi melahirkan pakar blockchain dan mata wang digital (kripto) di negara ini.

Pengasasnya, Datuk Muhd. Azrainuddin Zainal, menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani, kursus Diploma Teknologi Blockchain akan dikendalikan KAI yang merupakan program pertama ditawarkan di instutisi pengajian tinggi.

Menurut beliau, pihaknya akan berkongsi kepakarannya dan pengalaman dalam industri dan kepada pihak pengurusan kolej dalam membangunakn modul berkaitan subjek khusus mengenai blockchain.

“Masyarakat negara ini tidak boleh memandang sepi fenomena industri blockchain dan kripto berkembang pantas di seluruh dunia sebaliknya merebut peluang untuk menjadi pakar dalam industri itu.

“Justeru MoU ini merupakan satu sejarah kerana Malaysia ke depan lebih awal dalam bidang ini kerana merupakan negara pertama tawarkan program Diploma Teknologi Blockchain,” katanya selepas menandatangani MoU itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MoU itu diadakan sempena Simposium Blockchain Antarabangsa 2.0 yang menghimpunkan pakar industri antarabangsa dalam blockchain dan kripto bertujuan berkongsi pandangan mengenai hala tuju industri berkenaan menjelang 2020.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Inovatif, Shahawati Umar.

Selain perkongsian kepakaran dan bakat, MoU itu juga menandakan satu lagi kemajuan dalam industri blockchain dan kripto apabila mata wang digital DDKoin (DDK), yang diasaskan oleh BCMY diiktiraf sebagai mode pembayaran bagi program yang ditawarkan di Kolej Antarabangsa Inovatif.

Program Diploma Teknologi Blockchain akan ditawarkan bermula sesi Mei 2020 dengan sasaran 60 pelajar pada pengambilan pertama.

BCMY telah  memperkenalkan mata wang digital baharu dikenali sebagai DDKpada awal tahun lalu iaitu mata wang kripto (cryptocurrency) yang dibangunkan itu merupakan hasil cetusan idea dan teknologi rakyat tempatan.

Malaysia akan melahirkan melahirkan pakar blockchain dan mata wang digital (kripto) di negara ini tidak lama lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama itu, Shahawati berkata, KAI berhasrat menjadi institusi pengajian tinggi pertama yang menyahut saranan kerajaan dalam mengadaptasi Revolusi Industri 4.0 di dalam sektor pendidikan dan industri.

“Malaysia tidak boleh lari untuk berdepan dengan Revolusi Industri 4.0. dan kami mahu melahirkan graduan yang memenuhi perkembangan industri.

“Jadi kita akan ketinggalan di belakang jika tidak bersedia dari awal. Namun dalam bidang pendidikan, kita perlu memgakui hanya melahirkan graduan yang hanya lulus peperiksaan sahaja jika tidak bekerjasama dengan pihak industri,

“Justeru penawaran program Diploma Teknologi Blockchain ini mampu menghasilkan lebih ramai pakar dalam bidang blockchain dan kripto kerana kita dibantu pihak industri yang telah berpengalaman luas,” katanya.

Shahawati menambah, pihaknya perlu mengakui bidang pendidikan agak lambat berbanding pihak industri dalam usaha mempelori sesuatu bidang baharu di negara.

Ini kerana katanya, institusi pengajian tinggi perlu melakukan kajian dan penyelidikan dahulu yang mengambil masa hingga dua ke tiga tahun.

“Untuk peneraju dalam melahirkan pakar industri dan akademik membabitkan teknologi blockchain, kerjasama dengan pihak industri akan mempercepatkan usaha memenuhi pasaran tersebut.

“Selalu kita dengar bidang pendidikan tidak mampu sediakan pakar untuk industri itu sendiri. Justeru, untuk ke arah teknologi blockchain, bidang pendidikan perlu bersama memacu industri blockchain di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu laporan akhbar tempatan baru-baru ini, industri membabitkan saintis data dan teknologi baharu dijangka menjadi bidang pekerjaan baharu menjelang 2022. – MalaysiaGazete