Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain beramah mesra bersama pesakit kanak-kanak semasa mengadakan lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis ke-217 tahun 2024 ketika di Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK), Cheras. Foto MOHD ADZLAN, 21 MEI 2024.

KUALA LUMPUR – Lawatan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke wad kanak-kanak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) mampu menimbulkan rasa insaf dalam kalangan pegawai dan anggota polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, program sempena Hari Peringatan Hari Polis Ke-217  itu memberi ruang kepada warga PDRM memberi sokongan moral kepada pesakit kanak-kanak di samping menyelami penderitaan mereka.

“Untuk lawatan ini kita akan ke wad kanak-kanak, saya amat terkesan. Sejak duduk di Pulau Pinang, (saya lihat) wad kanak-kanak, boleh tengok kekuatan pada keluarga.

“Budak (pesakit) itu lebih kuat tapi ibu bapa harus lebih kuat lagi daripada yang sakit, mereka perlu ke hospital dan ada yang terpaksa berhenti kerja jaga anak, kita kena faham life is hard sometimes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Lawatan Hospital sempena Hari Polis ke-217 tahun 2024 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Pakar Kanak-Kanak HUKM, Prof Datuk Dr.Ismail Sagap, Pengarah JSJ Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa ke program tersebut.

Terdahulu Mohd Shuhaily semasa mewakili dan membacakan teks ucapan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain  berkata, HPKK UKM dipilih sebagai destinasi lawatan berdasarkan jumlah pesakit yang menerima rawatan terdiri dari kalangan anak-anak warga PDRM.

Beliau menyatakan keyakinan kualiti perkhidmatan terbaik serta layanan mesra daripada pihak hospital adalah faktor utama HPKK menjadi pilihan warga PDRM untuk mendapatkan rawatan.

“Sepertimana kita sedia maklum, warga polis sentiasa sibuk dengan tuntutan kerja membabitkan hal-hal menjaga keselamatan serta keamanan negara tetapi soal kebajikan berkaitan warga PDRM tidak pernah dilupakan.

“Untuk makluman, amalan ziarah ini bukan hanya tertumpu semasa Sambutan Memperingati Hari Polis sahaja tetapi lawatan ini juga kerap diadakan dari semasa ke semasa bagi tujuan menyantuni pesakit kanak-kanak di hospital ini disamping menzahirkan keprihatinan warga PDRM terhadap mereka yang kurang bernasib baik.

“Sesungguhnya, saya serta seluruh warga pasukan amat menghargai pengorbanan dan penat lelah para petugas kesihatan khususnya dan seluruh warga HPKK amnya,” tegasnya. -MalaysiaGazette