Saturday, June 15, 2024
Home Seni Hidup Konsert M. Nasir bakal gegar Axiata Arena

Konsert M. Nasir bakal gegar Axiata Arena

Konsert Dato' M.N45ir Cipta yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

KUALA LUMPUR – Maestro muzik tersohor, Datuk M. Nasir akan muncul dengan Konsert Dato’ M.N45ir Cipta yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 10 Ogos depan.

Konsert bertemakan Pendekar dan Tradisional itu bakal menyaksikan penghibur berusia 66 tahun itu bukan sahaja mempersembahkan lagu-lagu kesukaan ramai tetapi juga lagu yang pernah dicipta untuk penyanyi lain dalam pelbagai genre sempena meraikan 45 tahun pembabitannya dalam industri seni.

“Saya akan menyanyikan lebih 40 lagu termasuk lagu yang saya ciptakan untuk penyanyi lain yang mungkin orang tidak tahu itu adalah lagu yang saya tulis.

“Antaranya lagu Padang Lalang (Hattan), Rintik Hujan di Kelopak Mawar (Dayangku Intan), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon dan mungkin kalau ada (peminat) nak minta lagu macam-macam, saya selagi boleh akan melayani permintaan anda dengan cara saya sendiri,” katanya dalam sidang media konsert tersebut di sini semalam.

Tidak ketinggalan, konsert anjuran Icon Entertainment itu juga akan menampilkan segmen khas sebagai tanda sokongan dan solidariti seniman ini kepada rakyat Palestin yang masih menanggung penderitaan akibat kekejaman rejim zionis di Gaza.

“Konsert adalah konsert, kalau saya dapat menghiburkan orang (peminat) dan mereka pun pulang dengan enjoy, jiwa terisi dan mungkin boleh belajar sesuatu daripada lagu-lagu saya, itu sudah buat saya gembira,” katanya menambah tiada istilah bersara dalam kamus hidupnya meskipun sudah lebih empat dekad bergelar anak seni.

Konsert bertemakan Pendekar dan Tradisional itu bakal menyaksikan penghibur berusia 66 tahun ini bukan sahaja mempersembahkan lagu-lagu kesukaan ramai tetapi juga lagu yang pernah dicipta untuk penyanyi lain dalam pelbagai genre sempena meraikan 45 tahun pembabitannya dalam industri seni.

Malah anak kelahiran Singapura yang nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed mengakui bidang seni memberinya kepuasan tersendiri dan akan terus berkarya selagi termampu.

M. Nasir yang juga Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 bagaimanapun mengakui perlu menyesuaikan diri seiring dengan peredaran zaman.

“Hidup ini seperti naik roller coaster, walaupun ia bergelombang, 45 tahun ini sangat indah. Saya bersyukur kerana sentiasa disokong oleh mereka yang selalu ada di sisi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Icon Entertainment, Iman Tang berkata, Konsert Dato’ M. N45ir Cipta melambangkan keseluruhan seorang figura seni bernama M. Nasir sepanjang 45 tahun pembabitannya dalam dunia seni.

Sementara itu, tiket dijual berkonsepkan seleksi lagu popular ciptaan M.Nasir dengan harga RM238 (Awan Nano), RM338 (Sejati), RM458 (Fenomena), RM488 (Cinta Kristal), RM528 (Mustika) dan RM588 (Apokalips) di laman sesawang www.ticket2u.com.my bermula 11 pagi mulai 27 Mei ini. – MalaysiaGazette