Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedar wujud anasir-anasir tidak sihat di negara ini yang boleh mengganggu gugat keharmonian negara.

Namun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya majoriti rakyat Malaysia matang dan rasional serta cenderung kepada keamanan sejagat.

Sikap ini terdorong daripada rasa sayang kepada negara sendiri, menurut beliau.

“Sebagai rakyat Malaysia kita berasa syukur kerana dapat merayakan perayaan dalam suasana aman dan harmoni. Ini hanya dapat dikecapi kerana rakyat negara ini mengamalkan sikap toleransi dan menerima perbezaan antara kaum dan agama.

“Perpaduan yang disemai sejak kecil hingga dewasa sedikit sebanyak membolehkan kemakmuran negara tercapai dalam masa singkat sejak penubuhan Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada penganut beragama Hindu.

Tetapi, terdapat negara-negara di dunia yang masih bergelut dengan isu-isu perkauman dan pergolakan kuasa yang berpanjangan namun rakyat Malaysia sedang menikmati pembangunan pesat dan hubungan antara kaum yang erat.

“Jika diamati dengan teliti, tidak ada mana-mana negara di dunia yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan berbilang agama dan berbilang bahasa dan berbilang budaya seperti Malaysia. Apatah lagi yang telah berkembang pesat, maju dan aman dalam jangka masa pendek seperti kita,” ujarnya.

Ini kerana, Dr Mahathir menambah, rakyat Malaysia telah belajar untuk hidup bersama, bekerjasama ke arah kejayaan Malaysia.

Jelasnya, sikap ini mesti dipuji, dipupuk dalam kalangan generasi muda dan diteruskan kepada generasi akan datang kerana inilah asas perpaduan nasional sejajar dengan cita-cita dan objektif yang disebut dalam Rukun Negara.

Ianya hasrat untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam masyarakat dan hasrat untuk mencipta satu masyarakat yang adil, di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama dan hasrat agar rakyat membentuk sikap terbuka menerima dalam kebudayaan pelbagai corak di Malaysia

Dr Mahathir berharap sempena sambutan Hari Deepavali yang berunsur kebaikan, mengalah kejahatan, rakyat negara ini membuang buang sifat tidak elok demi kebaikan bersama. – MalaysiaGazette