Pemandangan atas Kampung Bharu yang berlatarkan Menara Berkembar Petronas (kiri) dan Menara Kuala Lumpur (kanan) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Tawaran akhir yang dikemukakan oleh kerajaan kepada pemilik-pemilik tanah Kampung Baru dianggap tidak berbaloi.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pemilik Tanah dan Waris Tanah (PPTWT) Kampung Baru, Datuk Ar. Mohtar Rahmad berkata, kerajaan seharusnya menimbangkan cadangan untuk memajak tanah-tanah di kawasan berkenaan bagi tujuan pembangunan dan bukannya membelinya daripada penduduk.

“Tawaran tersebut tidak adil dan tidak berbaloi.

“Jika betul hendak dibangunkan, kenapa kerajaan perlu beli tanah tersebut?

“Mengapa tidak dibangunkan bersama-sama penduduk?

“Kami bukan menolak pembangunan tetapi kami tidak mahu jual tanah kami.

“Kerajaan boleh memajak tanah-tanah tersebut untuk dibangunkan dan seterusnya membolehkan penduduk mendapat manfaat serta keuntungan jangka panjang yang lebih baik berbanding apa yang ditawarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad semalam.

“Kerajaan bukan pemaju. Jika pemaju, kami fahamlah mengapa mereka hendak beli,” katanya yang juga seorang arkitekmketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohtar, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah dengan memajak tanah tersebut bagi tempoh 25 tahun untuk dibangunkan selain wakaf dan usahasama.

Penduduk yang terlibat katanya, boleh menerima pendapatan hasil kutipan sewa pajakan berkenaan di samping dapat membeli unit-unit baharu yang ditawarkan di Kampung Baru.

Selepas tempoh pajakan tamat, penduduk akan menerima semula hartanah yang telah dipajakkan.

Katanya, daripada kerajaan mengeluarkan wang untuk membeli tanah-tanah tersebut, kerajaan boleh menggunakannya untuk dijadikan modal pusingan projek pembangunan di Kampung Baru yang akan dijayakan bersama dengan penduduk-penduduk.

“Kerajaan sekarang bukan berkhidmat untuk rakyat, mereka berniaga dengan rakyat.

“Jika mereka beli tanah di Kampung Baru, kerajaan sebenarnya menghalau penduduk yang telah tinggal di kampung ini sejak sekian lama.

“Kami sudah tiada tanah lagi walaupun kerajaan ada menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus untuk membeli hartanah di Kampung Baru, namun ianya masih tidak berbaloi,” katanya lagi.

Menurut Mohtar, walaupun tawaran RM1,000 bagi setiap kaki persegi itu kelihatan seperti satu jumlah yang banyak namun kira-kira 70 peratus daripada 825 lot tanah di Kampung Baru memiliki 10 hingga 25 pemilik. Malah terdapat lot-lot tanah yang mempunyai lebih 25 pemilik.

Ini menyebabkan setiap pemilik hanya akan menerima jumlah yang kecil apabila bayaran tersebut diterima kelak.

Ia berbeza sekiranya tanah tersebut dipajak dan dibangunkan kerajaan kerana pemilik-pemilik tanah akan menerima pendapatan pada jangka masa yang panjang dan lebih berbaloi mengikut perkiraan pasaran.

“Pembangunan di Kampung Baru bukanlah satu perkara yang baru.

“Sejak tahun 60-an, kerajaan negeri Selangor (ketika itu, Kampung Baru masih berada di jajahan negeri Selangor) memberikan peruntukan untuk tujuan pembinaan rumah batu malah pada era Tun Abdul Razak, kerajaan persekutuan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyalurkan peruntukan kepada Kampung Baru untuk mendirikan bangunan-bangunan konkrit empat tingkat.

“Jadi, apa salahnya jika pada zaman sekarang, kerajaan memberikan peruntukkan modal pusingan supaya bangunan-bangunan lebih tinggi ataupun kondominium didirikan untuk tujuan pembangunan di Kampung Baru tanpa perlu membeli tanah daripada penduduk?” soalnya.

Jelasnya, beliau bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan penduduk Kampung Baru yang lain sedang berbincang untuk menghantar petisyen bantahan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketika ditanya, apakah cadangan supaya sistem pajakan ini diguna pakai bagi tujuan pembangunan di Kampung Baru pernah diutarakan kepada kerajaan, beliau menjawab, mereka tidak pernah diberi peluang untuk bertemu dengan kerajaan.

Katanya, wakil kerajaan hanya mengadakan rundingan dengan pemilik secara individu dan bukannya melalui persatuan.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Hang bangunkan sendiri….jangan asyik condem kerajaan saja.,setakat cakap modal air liur sampai masa kampong Melayu akan terus rebah bila rumah lama menjadi buruk.Aku rasa kerajaan jangan ambil kisah lagi bab tanah perkampongan Melayu “ini” dan abaikan sahaja ,jika mereka terus berdolak-dalih,dan fokus ke harta tanah lain.

Comments are closed.