Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bergambar bersama Cleopatra ketika wanita itu hadir ke Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekali lagi menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak membincangkan sebarang kontrak atau memberi geran kepada syarikat e-sukan, Cleo International Sdn Bhd.

Menurut Menteri KBS itu, prosedur standard mesti dipatuhi kerana integriti adalah keutamaannya.

“Kami belum memilih sesiapa sebagai rakan strategik seperti yang didakwa. Ia hanya mesyuarat kumpulan bersama dengan Orange eSports,” katanya.

Beliau menjawab dakwaan pilih kasih dan salah guna kuasa membabitkan pertemuannya dengan delegasi yang dikatakan dari syarikat e-sukan, Cleo International Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan, Juliyus Allen mendakwa syarikat itu tidak mempunyai pengalaman dalam industri e-sukan.

Allen juga mendakwa pengasas Cleo International baru saja menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Perjumpaan seorang menteri dengan delegasi sebuah syarikat yang berumur tidak lebih daripada satu minggu ini telah menimbulkan pelbagai soalan akan kriteria-kriteria yang diperlukan sesuatu syarikat untuk mengadakan kerjasama bersama pihak kementerian.

“Isu ini bertambah rumit apabila terdapat tuduhan bahawa Kementerian Belia dan Sukan telah berkali- kali menolak permohonan daripada sebuah pertubuhan E-sukan, Esport Kuala Lumpur Association (ESKL) untuk membincangkan pelan pembangunan mereka.

“Polemik membabitkan syarikat Cleo International dan pemiliknya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin bertambah serius apabila pihak umum sedar bahawa syarikat tersebut didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai sebuah syarikat khidmat pengangkutan dan logistik dan pemiliknya tidak mempunyai sebarang pengalaman di dalam industri E-sukan,” katanya.

Sebelum ini, Orange Esports memaklumkan pertemuan organisasi itu bersama wanita yang dikenali sebagai Cleopatra baru-baru ini untuk memperkenalkan inisiatif belia melalui e-sukan kepada pihak kementerian.

Katanya, Orang Esports telah dihubungi Cleo International Sdn Bhd untuk menjadi rakan kongsi dalam satu projek yang turut melibatkan e-sukan sebagai salah satu pembangunan belia.

Tetapi Cleo International Sdn Bhd dan Cleopatra bukan pemegang saham dalam Orange Esport atau EBN (Esports Business Network). – MalaysiaGazette