Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – “(Hati) Saya terluka memikirkan bahawa dalam negara sendiri, penduduk asal tidak sepatutnya menganjurkan perperhimpunan sendiri tanpa dituduh menjadi rasis,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Perdana Menteri, beliau menghadiri Kongres Maruah Melayu kerana beliau adalah seorang Melayu.

Menurutnya, adalah sesuatu yang lumrah dalam sebuah negara pelbagai kaum ini warganya mengekalkan identiti mereka dengan negara asal, malah selepas berada Malaysia dan memegang kewarganegaraannya untuk tiga generasi.

Ini kerana, katanya, mereka tidak mahu kehilangan identiti bangsa.

Katanya, jelas hubungan etnik imereka adalah menerusi bahasa, budaya, sekolah dan organisasi.

“Mereka sering mengadakan mesyuarat yang terbatas kepada kumpulan etnik mereka.

“Kadang kala saya dijemput untuk merasmikan mesyuarat ini dan diminta menyampaikan ucaptama,” tulis Perdana Menteri dalam laman blog, chedet.bertajuk ‘The Malay Dignity Congress’ (Kongres Maruah Melayu).

Menurut Dr. Mahathir, masyarakat majmuk Malaysia dengan pelbagai etnik telah diiktiraf sah dan betul.

Tambah beliau, negara majmuk lain menyaksikan bukan penduduk asal memperkenalkan diri mereka hampir sama dengan penduduk asal.

Mereka menggunapakai bahasa dan budaya penduduk asal dan memutuskan hubungan dengan negara asal, malah menukar nama mereka, katanya.

“Ia adalah satu langkah toleransi penduduk asal di Malaysia bahawa perhimpunan yang terbatas kepada kumpulan etnik yang berbeza diterima sebagai normal,” katanya.

“Oleh itu saya sangat terperaanjat apabila saya dinasihatkan supaya tidak menghadiri Kongres Melayu untuk membincangkan maruah mereka.

“Jelas, mereka khuatir terhadap kemungkinan kehilangan maruah, apa sahaja maknanya.

“Seperti biasa terdapat pandangan ekstrem tetapi secara keseluruhan mereka seimbang,” katanya.

Menurut Dr. Mahathir, adalah tidak mungkin ketika kumpulan-kumpulan etnik lain boleh mengadakan perhimpunan untuk membincangkan hal mereka, Melayu tidak boleh, dan perhimpunan mereka adalah rasis.

Tambah beliau, malah kini terdapat permintaan bahawa pencetus perhimpunan itu sepatutnya disingkir daripada menyertainya.

Ujar Dr. Mahathir, apabila bekas koloni negara Eropah mendapat kemerdekaan, banyak diskriminasi berlaku terhadap bukan penduduk asal.

Jelas beliau, ada antaranya meniNggalkan negara itu dan ada yang diserang secara ganas.

“Tidak di negara ini. Penduduk bukan asal diterima sebagai warga negara. Malah, sejuta penduduk bukan asal diberi kerakyatan walaupun mereka tidak layak,” katanya sambil menambah kini sudah pasti beliau akan dilabel sebagai rasis kerana tulisannya itu. – MalaysiaGazette