Seorang lelaki berjalan melepasi Menara Berkembar Kuala Lumpur ketika tinjauan bersama Malaysia Gazette berkenaan isu jual tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR- Tawaran harga tanah yang dikemukakan oleh kerajaan didakwa tidak ikhlas, malah dilihat mahu menjadikan Kampung Baru hanya sebagai rizab keuntungan kepada kantung kerajaan.

Menurut wakil Sekretariat Himpunan Anak Muda Kampung Baru, Mohamad Shahril Saleh, cadangan projek pembangunan dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) langsung tidak melibatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan, sekali gus menunjukkan kerajaan tidak serius dalam projek berkenaan.

Mohamad Shahril Saleh

“Tiada penglibatan langsung daripada kerajaan hanya mengharapkan inisiatif daripada syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal ditubuhkan.

“Siapakah pemilik SPV, siapa di belakangnya, siapa yang akan menerajuinya juga kita tidak tahu.

“Dengan itu, kami menolak tawaran kerajaan itu kerana apa yang kami nampak dengan pelaburan (kos yang dikeluarkan untuk membeli tanah-tanah di Kampung Baru) adalah sebanyak RM6.7 bilion tetapi GDV adalah RM30 bilion menunjukkan kerajaan hanya mahu menjadikan Kampung Baru sebagai penjana keuntungan kepada mereka sahaja,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini.

Tambah Mohamad Shahril, sejak dari awal mereka sudah menjangkakan kerajaan akan mengemukakan tawaran sedemikian memandangkan kedudukan kewangan kerajaan ketika ini.

Dengan itu, Himpunan Anak Muda Kampung Baru menurut beliau, akan menggerakkan ahli-ahlinya untuk memberi penerangan kepada semua penduduk mengenai situasi sebenar tawaran berkenaan.

Ini bagi memastikan semua pemilik tanah mempunyai maklumat yang mencukupi, seimbang dan adil sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya lagi, semua pemilik tanah di Kampung Baru termasuk anak-anak muda yang bakal menjadi pewaris kampung Melayu di tengah ibu kota itu tidak pernah menolak sebarang bentuk pembangunan.

Namun ia mestilah memberi keadilan kepada pemilik tanah dan dalam masa yang sama mempertahankan status tanah rizab Melayu itu untuk selama-lamanya.

Beliau mencadangkan supaya Kampung Baru dibangunkan menerusi cara waqaf dan kemudiannya dipajakkan untuk projek-projek pembangunan.

Sebuah syarikat yang dianggotai oleh semua pemilik tanah boleh ditubuhkan bagi menguruskan perkara itu.

Jelasnya, menerusi cara sedemikian, status tanah rizab Melayu boleh dikekalkan walaupun kawasan tersebut bakal dimajukan menjadi projek bernilai tinggi.

“Jika hanya mengharapkan akta, akta boleh dipinda dan diubah-ubah tetapi peraturan waqaf tetap sama iaitu tanah tersebut tidak boleh dijual-beli.

“Jadi di sini, kita tahu tanah di Kampung Baru akan kekal di tangan pemiliknya lagi pula waqaf adalah untuk orang Islam dan Melayu,” katanya.

Selain itu, Shahril turut menzahirkan kekesalannya terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad yang mengatakan tawaran yang diumumkan beliau semalam adalah tawaran muktamad.

Menurut Shahril, pemilik-pemilik tanah di Kampung Baru masih mengharapkan ada jalan rundingan di antara pihak kerajaan dan mereka bagi menyelesaikan isu tersebut.

Malah, ayat “tawaran muktamad” itu juga katanya, mengundang persoalan yang lebih besar iaitu apakah rancangan kerajaan seterusnya jika majoriti penduduk menolak tawaran tersebut?

“Apakah ini bermakna kerajaan akan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 jika majoriti pemilik menolak tawaran muktamad itu?

“Apa yang kami nampak selepas mendengar kenyataan Menteri semalam, begitulah.

“Sekiranya perkara ini terjadi, kami bersedia untuk mempertahankan hak kami di mahkamah,” tegasnya.

Tambah Shahril, beliau juga kecewa dengan sikap Khalid yang hanya mahu bertemu dengan pemilik tanah secara individu dan menolak kumpulan atau persatuan penduduk untuk berunding sebelum ini.

Jelasnya, pemilik tanah di Kampung Baru mempunyai pelbagai latar belakang dan umur yang menyebabkan ada di antara mereka yang mungkin tidak mampu membuat keputusan dengan baik sekiranya tidak mendapat maklumat yang mencukupi.- MalaysiaGazette