SIBU – Seorang bapa lemas manakala anak lelakinya terselamat apabila kereta dipandunya terbabas dan terhumban ke dalam longkang di Jalan Ling Kai Cheng malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, mangsa yang maut merupakan pemandu kereta tersebut dikenali sebagai Asri Rizal Rahim berusia 41 tahun manakala anaknya Mohd Mirza berusia sembilan tahun mengalami kecederaan.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dikatakan terperangkap di dalam kereta yang mereka naiki namun kanak-kanak lelaki tersebut berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah.

Menurut jurucakap itu, kanak-kanak lelaki itu dikejarkan ke Hospital Sibu menggunakan kenderaan bomba.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta terhumban ke dalam parit yang berair dalam keadaan terbalik. Mangsa tersepit di bahagian kaki dan pihak bomba menarik kenderaan itu ke tepi bagi mengeluarkan mangsa,” jelasnya.

Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kemalangan tersebut pada 10.44 malam dan operasi ditamatkan 11.58 malam. – Bernama