LAHAD DATU – Pasukan Polis Marin (PPM) akan menghubungi pihak berkuasa Filipina hari ini bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipercayai enam lagi mangsa bot karam pada Khamis lalu, yang masih hilang dan dikhuatiri lemas.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, keperluan kerjasama itu ekoran kemungkinan mangsa berada di dalam kawasan perairan Filipina.
“Kita akan maklum pihak Filipina hari ini untuk sama-sama melaksanakan SAR,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, menurutnya, SAR oleh PPM yang masuk hari keempat kini diperluaskan ke Semporna sehingga sempadan Filipina.
Katanya, operasi bermula 6 pagi itu melibatkan lima bot peronda dengan 33 anggota dan pegawai PPM Lahad Datu serta Semporna di kerah ke lokasi pencarian.
Sebelum ini SAR meliputi kawasan perairan Merabung hingga Felda Sahabat 16 dan Pulau Adal, Pulau Tabawan hingga perairan Silam.
Bagaimanapun, semalam satu mayat tidak diketahui jantina dipercayai mangsa bot karam, Khamis lalu ditemui di perairan Pulau Mataking, Semporna.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor dalam satu kenyataan mendedahkan mayat ditemui di pesisiran pantai Pulau Mataking, Semporna merupakan seorang lelaki dan berusia 40-an.
Menurut Nasri, pemeriksaan luaran mayat tidak menemui sebarang kecederaan atau unsur jenayah.
Dilaporkan sebelum ini, sembilan individu menaiki sebuah bot dari Sibutu, Filipina dipercayai karam, sebelum seorang mangsa lelaki yang selamat ditemui di perairan Merabung, Tungku dekat sini pada Khamis lalu.
Manakala seorang wanita ditemui mati terapung di perairan Bangingod, Tungku pada Jumaat, dan tujuh termasuk dua-kanak-kanak masih hilang. – Bernama