Dr. Najmil Faiz

KUALA LUMPUR – Bukan hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan kerana kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) patut dipecat, malah DAP juga patut diharamkan kerana mempunyai wakil rakyat yang terlibat dalam gerakan yang telah diharamkan itu.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris dalam masa yang sama mempersoalkan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menentang Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hanya demi kepentingan peribadi namun berdiam diri apabila undang-undang itu digunakan terhadap mereka yang terlibat dengan Daesh dan ISIS.

Menurut beliau, ini jelas membuktikan pemimpin parti itu mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal khususnya apabila mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang berkaitan keselamatan negara.

“Kenapa pemimpin PH membisu semasa tangkapan lepas SOSMA terhadap ISIS, DAESH dan kongsi gelap? Apabila melibatkan parti DAP semua pemimpin PH cuba campur tangan dan mempolitikkan isu ini untuk kepentingan peribadi.

“Pemimpin yang terlibat dengan LTTE wajar dilucutkan jawatan dan DAP juga seharusnya diharamkan kerana terlibat dengan kumpulan pengganas dan perkara ini jelas menjadi ancaman terhadap negara.

“Kerajaan PH juga cuba menjadikan Malaysia sebagai “failed state” atau negara gagal dengan cubaan dan desakan untuk memansuhkan segala undang-undang melibatkan keselamatan negara. Walaupun telah menjadi kerajaan, pemimpin PH masih bersikap seperti pembangkang yang dilihat semakin hari semakin agresif untuk memansuhkan SOSMA,” katanya menerusi kenyataan.

Dr. Najmil Faiz turut menempelak Ahli Parlimen Port Dickson yang mahu tahanan SOSMA berkaitan LTTE baru-baru ini segera dihadapkan ke mahkamah untuk diadili sekiranya wujud bukti mengaitkan mereka, namun sekiranya sebaliknya Presiden PKR itu berharap mereka dilepaskan agar dapat meraikan Deepavali bersama-sama keluarga.

Campur tangan Anwar, ujar beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian Kuala Terengganu, menjejaskan kedaulatan undang-undang.

“Apa yang menjadi isunya ialah kenyataannya bersifat campur tangan dalam penyiasatan polis. Pelbagai video dan gambar yang menunjukkan penglibatan ahli DAP dengan pengganas LTTE telah tersebar di media sosial dan perkara ini tidak harus dipertikaikan,” tambah beliau.

Terkini, kertas siasatan terhadap semua 12 suspek yang ditahan berhubung kumpulan LTTE telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, beliau berpuas hati dengan kertas laporan yang diserahkan pada Rabu yang lalu. – MalaysiaGazette